X

Kindly register in order to view this article
!

Mayat pengurus jualan ditemukan di bawah Jambatan Sultan Yahya Petra

Mayat lelaki berusia 42 tahun itu ditemukan pada jam 9.50 malam oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR). - Foto ihsan bomba
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Mayat seorang pengurus jualan kereta yang jatuh ke dalam Sungai Kelantan semalam ditemukan terapung di permukaan air di bawah Jambatan Sultan Yahya Petra di sini tadi.

Mayat lelaki berusia 42 tahun itu ditemui pada jam 9.50 malam oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu.

“Operasi SAR bermula semalam dan malam ini mayat masih lengkap berpakaian itu ditemui pasukan SAR di lokasi yang dikatakan dia terjun.

”Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Pada jam 10 pagi semalam, bapa kepada dua anak tersebut dikatakan menunggang sebuah motosikal jenis Modenas ke Jambatan Sultan Yanya Petra di sini dan berhenti di atas jambatan itu.

Lelaki yang dikatakan mengalami kemurungan beberapa bulan lalu itu meninggalkan motosikalnya di tepi jambatan dan kemudian terjun ke sungai.

Gerakan mencari bermula semalam dan diperluas sehingga 10 kilometer dari lokasi mangsa jatuh di Jambatan Sultan Yahya Petra sehingga ke muara Kuala Besar di sini hari ini.

Operasi membabitkan 51 anggota termasuk JBPM, PDRM dan APM.

Ahli keluarga lelaki itu turut berada di lokasi dan membacakan surah Yassin sebelum mayatnya timbul di permukaan sungai.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus