Bijaksana di pentas antarabangsa

A
A
A

BARU-BARU ini, negara dikejutkan dengan ancaman pemain industri sawit di India untuk mengehadkan import sawit ke negara berkenaan.

Menurut sumber media di negara yang berpopulasi lebih 1.38 bilion penduduk itu, ia berpunca daripada ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung PBB ke-74 di New York yang dikatakan mencampuri urusan dalaman negara itu berhubung wilayah Jammu dan Kashmir.

Sehingga hari ini, tiada kenyataan rasmi oleh kerajaan India mengenai desakan pemain industri minyak sawit di sana, namun ancaman itu cukup untuk membuatkan industri sawit Malaysia bergoncang seketika sehingga memaksa Menteri Industri Utama, Teresa Kok untuk menenangkan suasana dan berharap perayaan Deepavali menyejukkan amarah mereka yang terlibat.

Penulis tidak berhasrat membahaskan kewajaran kerajaan Malaysia membuat pendirian berhubung Jammu dan Kashmir.

Sebagai orang Islam, sudah tentu simpati dan sokongan kita kepada saudara Islam kita yang sedang ditindas dan dizalimi adalah sesuatu yang tidak perlu dipertikaikan.

Namun, perlu ada kebijaksanaan dalam mengolah pendirian kerajaan di pentas antarabangsa terutama dalam mengimbangi antara kepentingan rakyat dan kemudaratan lebih besar sekiranya kita gagal menguruskan dasar luar secara berhemah.

Merujuk kepada isu India, tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mesra Pakistan sejak mutakhir ini membangkitkan rasa tidak senang kerajaan India sehingga ada laporan yang mengatakan pesawat rasmi yang membawa delegasi Malaysia dari Islamabad ke Kuala Lumpur tidak boleh melalui ruang udara India.

Malah statistik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendapati eksport minyak sawit Malaysia ke India pada September 2019 telah menurun sebanyak -45 peratus dari Ogos 2019 iaitu sebanyak 550,452 tan kepada 310,648 tan walaupun jumlah eksport minyak sawit negara mencecah sebanyak 3.9 juta tan bagi Januari hingga September tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Perubahan

Eksport minyak sawit adalah antara penyumbang kepada pendapatan negara dan sekiranya ia terus menguncup dan industri hiliran sawit domestik juga tidak mampu untuk menyerap pengeluaran berterusan sawit yang dijangka mencecah 20 juta tan pada 2019, harga CPO akan terus terkesan dan lebih 750,000 orang pekebun kecil dan 431,000 pekerja langsung industri itu akan terjejas pendapatan.

Apakah yang menyebabkan perubahan yang begitu mendadak? Adakah wujud kemungkinan reaksi pemain industri minyak sawit India pada kenyataan tersebut?

Itu adalah contoh situasi kebijaksanaan pemerintah memandu hubungan antarabangsa Malaysia amatlah penting kerana setiap tindakan dan kenyataan bakal memberi impak kepada ekonomi negara kerana Malaysia adalah negara berdagang dan ekonominya terbuka serta bertaut rapat dengan rantaian nilai perdagangan global.

Imbas kembali reaksi negatif negara sahabat khususnya ASEAN apabila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking mengutus surat kepada rakan sejawatnya yang menerangkan bahawa Malaysia mengubah beberapa pendirian yang telah dipersetujui awal dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (Regional Comprehensive Economic Partnership) atau RCEP.

Mengapa Malaysia bertindak sedemikian walhal proses rundingan RCEP kini sudah memasuki fasa-fasa terakhir untuk dimuktamadkan?

Laporan berita mengenai insiden itu menyatakan bahawa ada beberapa menteri dan pegawai negara sahabat kelihatan bingung dan marah. Ada juga yang menyatakan tindakan Malaysia sebagai naif dan diragui niatnya.

Malah ada juga yang mempersoalkan pengalaman dan keikhlasan menteri sehingga khuatir beliau tidak dinasihatkan secara baik oleh pegawai-pegawai kementerian.

Tuntasnya, hubungan antarabangsa Malaysia seharusnya diolah dengan bijaksana dan berhati-hati. Mana-mana kerajaan yang memerintah Malaysia tidak boleh dengan mudah dan angkuh berasakan Malaysia umpama ‘Abang Besar’ serantau.

Dunia kini sudah berubah dan tidak seperti dahulu disebabkan kemajuan teknologi dan internet. Maklumat bertukar tangan dengan pantas dan sekelip mata. Apa guna ada kerangka mahu mencipta Kemakmuran Bersama sekiranya tiada hormat-menghormati batas dan limitasi yang sepatutnya.