Segerakan projek tukun, bakau di selatan Pulau Pinang

Zolkifly
Zolkifly
A
A
A

GEORGETOWN - Projek melabuhkan tukun dan menanam semula hutan bakau di beberapa kawasan selatan Pulau Pinang hendaklah disegerakan bagi meningkatkan sistem tebatan banjir di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim berkata, antara kawasan-kawasan yang terlibat untuk projek melabuhkan tukun berkenaan termasuklah di Pulau Kendi dan Pulau Rimau sementara Tanjung Tempoyak dan Pulau Betong untuk projek penanaman semula hutan bakau.

“Ia (projek-projek ini) bukan sahaja sebagai agen untuk melindungi kukup yang menjadi habitat kepada hidupan laut tetapi juga sebagai sistem tebatan banjir yang berkesan buat Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memantau dengan rapi kerja-kerja penambakan iaitu pembinaan tembok pengasingan dan pagar kelodak yang mengelilingi kawasan tapak projek supaya tidak mengganggu ekosistem perikanan.

"Kerajaan negeri juga akan memastikan golongan nelayan turut mendapat manfaat iaitu memperoleh hasil daripada infrastruktur pengangkutan yang maju dan efisien yang dilihat menjadi pemangkin kepada ekonomi.

Zolkifly berkata, kerajaan negeri juga diminta tidak sekadar memberi pampasan berbentuk ‘sekali bayar’ tetapi untuk melibatkan golongan ini (nelayan) menjadi sebahagian daripada projek pembangunan di Pulau Pinang.

Katanya, perkara ini perlu diambil kira dalam proses perbincangan yang dilaksanakan kerajaan negeri sekarang berhubung bentuk insentif yang akan diberikan kepada golongan ini yang menurutnya dijangkakan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau turut menyatakan bahawa penglibatan golongan nelayan dilihat amat penting dalam penjanaan ekonomi di negeri ini, malah turut memastikan bahawa Pulau Pinang tidak akan terputus bekalan makanan laut.

Artikel Berkaitan:

“Dengan pembinaan pulau-pulau di selatan Pulau Pinang yang dihubungkan dengan infrastruktur pengangkutan yang baik, golongan nelayan boleh diperkasakan dengan pelbagai inisiatif nilai tambah yang berkaitan dengan aktiviti perikanan,” katanya. - Bernama