Kerajaan percepat usaha nyah jenayah dadah: Syed Saddiq

Syed Saddiq ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Syed Saddiq ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mempercepatkan usaha dekriminalisasi (menyahjenayah) penagih dadah menerusi penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani masalah itu secara efektif dan komprehensif.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, jawatankuasa itu dianggotai Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Setiausaha Negara ditubuhkan atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada mesyuarat Kabinet minggu lepas.

“Isu ini telah dibangkit dan dibincangkan secara mendalam berkenaan usaha kerajaan untuk menyahjenayah penagihan dadah. Pada mesyuarat kabinet yang lepas, kabinet telah bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mempercepatkan proses ini.

“Jawatankuasa ini akan memastikan isu ini dapat diselesaikan segera dengan membincangkan bagaimana membezakan antara penagih dan pengedar dadah serta kaedah membantu mereka bagi mengganti hukuman penjara,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan statistik 2018, sebanyak 18,967 kes penagihan dadah melibatkan anak muda iaitu tiga kali ganda berbanding 6,300 kes golongan dewasa.

Katanya, tiba masa kerajaan fokus kepada pemulihan bukannya hukuman memandangkan ramai penagih dari kalangan keluarga miskin sehingga terpaksa mengaku salah dan dipenjarakan.

Ditanya bagaimana kerajaan akan mengasingkan antara penagih dadah, penyalahguna dan pengedar, beliau berkata, jawatankuasa itu akan mengambil kira beberapa perkara termasuk piawaian antarabangsa.

Pada Jun lepas, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan kerajaan merancang menjadikan isu pemilikan dan penggunaan dadah sebagai bukan lagi kesalahan jenayah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, isu penggunaan dan ketagihan dadah perlu dilihat dari aspek perubatan. - Bernama