Salleh Keruak serah kepada PKR

Salleh - Foto fail
Salleh - Foto fail
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyerahkan sepenuhnya kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk berbincang dan mempertimbangkan permohonannya untuk menyertai parti itu.

Salleh yang pernah menjadi menteri persekutuan dalam kerajaan terdahulu itu berkata, beliau telah dimaklumkan secara peribadi oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keahliannya dalam parti.

“Saya faham dan terima mengapa pimpinan pusat PKR memutuskan untuk diberi sedikit masa supaya dapat berbincang mengenai keahlian saya.

“Saya berharap diberikan peluang untuk memberi sumbangan dengan sedaya upaya saya ke arah pemupukan politik progresif berbilang kaum yang mengutamakan kestabilan dan kesederhanaan, untuk negeri Sabah khususnya dan Malaysia amnya,” katanya dalam catatan terbaharu blog beliau sallehsaid.com semalam.

Salleh berkata, beliau akan memberi komitmen serta kerjasama dengan PKR dalam menjayakan agenda reformasi dan politik perubahan demi kebaikan rakyat.

Kelmarin, Anwar berkata, PKR tidak ada masalah menerima permohonan keahlian Salleh untuk menyertai parti itu bagaimanapun pimpinan parti pusat memutuskan untuk diberikan sedikit masa bagi membincangkan lebih lanjut berhubung permohonan berkenaan.

Anwar menjelaskan bahawa ia tidak bermaksud PKR menolak permohonan Salleh namun pimpinan parti mahu mengambil kira pandangan daripada negeri dan cabang termasuk sentimen ahli PKR di peringkat akar umbi terlebih dahulu memandangkan Salleh adalah seorang pemimpin terkenal dengan kesetiaannya kepada Barisan Nasional dan UMNO. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: PKR belum buat keputusan permohonan Salleh Keruak: Anwar

Artikel Berkaitan: