Dua sahabat diberkas, dadah lebih 2kg dirampas

Kama Azural (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPD Raub hari ini.
Kama Azural (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPD Raub hari ini.
A
A
A

RAUB - Dua sahabat ditahan dalam serbuan berasingan bersama pelbagai jenis dadah seberat lebih 2 kilogram yang dianggarkan bernilai RM150,000.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, rampasan pelbagai jenis dadah seberat lebih 2kg dipercayai untuk pasaran di Raub, Bentong dan Lipis itu merupakan yang tertinggi dicatatkan di daerah ini pada tahun ini.

"Dalam serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah sempena Op Tapis kira-kira jam 5 petang, suspek pertama berusia 39 ditahan di dalam sebuah kereta Proton Iswara di tepi jalan Taman Amalina Lestari di sini berjaya menemui dadah jenis heroin sebanyak 1.15 gram.

"Penahanan lelaki yang juga seorang penganggur itu membawa serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Raub Jaya di sini.

"Serbuan ke rumah terbabit menemui seorang lagi suspek berusia 38 tahun sekali gus membawa penemuan dan rampasan dadah jenis syabu seberat 33.16 gram, heroin (32.09 gram) dan pil eramin (43.80 gram).

Menurutnya, hasil soal siasat yang dilakukan membawa penemuan sebuah lagi rumah di Taman Amalina Lestari yang dijadikan stor penyimpanan dadah.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut telah menjumpai dadah jenis heroin sebanyak 1567.97 gram, syabu (369.10 gram), ketamin (34.54 gram), pil ecstasy (42.27 gram) dan eramin 5 (215.40 gram)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Raub, Asisten Superintendan Yusof Kamis dan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Nazri Mohd Nawi.

Artikel Berkaitan:

Kama memberitahu, suspek pertama mengaku kesemua dadah yang dirampas adalah miliknya manakala suspek kedua hanya menumpang menghisap dadah milik suspek berusia 39 tahun itu.

Katanya, dalam serbuan itu turut dirampas satu guni warna putih bertulisan Lotte yang mengandungi straw kosong, dua mesin pengedap plastik warna biru, satu bungkusan plastik lut sinar yang berisi sejumlah beg plastik hitam, pelbagai saiz plastik lut sinar, sebuah alat penimbang digital dan penukul serta sebuah kereta jenis Nissan Almera.

Antara dadah yang dirampas dalam serbuan itu.
Antara dadah yang dirampas dalam serbuan itu.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang masih bujang dan berasal dari Kuala Lumpur itu telah memperoleh bekalan dadah dari seorang lelaki di Klang, Selangor.

"Kedua-duanya juga baru sahaja tinggal di Raub lebih dua bulan dan masing-masing tidak memiliki sebarang rekod lampau.

"Namun hasil ujian air kencing mendapati suspek kedua positif methamphetamine manakala suspek pertama negatif.

"Mereka telah direman semalam sehingga Ahad ini dan disiasat di bawah Seksyen 39(B)Akta Dadah Berbahaya1952," katanya.