Ketua Polis Negara zahir ucapan takziah

Hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham Lans Koperal Muhammad Syakiran Shamsuddin dan isterinya, Allahyarham Nurul Asyikin Kamaruddin yang meninggal dunia selepas terbabit kemalangan jalan raya di ibu negara hari ini.

Ucapan ringkas Abdul Hamid itu dimuat naik di akaun Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Mewakili seluruh warga PDRM, saya menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham Lans Koperal Muhammad Syakiran Samsuddin dan isteri, Allahyarham Nurul Ashikin Kamaruddin yang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur pagi tadi.

"Kedua-dua mereka meninggalkan seorang anak lelaki berumur 1 tahun 10 bulan. Semoga roh mereka dicucuri rahmatNYA dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah.

"Kepada warga PDRM, sentiasa berhati-hati terutama ketika bertugas di lapangan. Nasihat saya, jalankan tugas dengan penuh amanah namun jangan sesekali abaikan keselamatan diri," katanya.

Allahyarham Muhammad Syakiran adalah anggota polis di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sepasang suami isteri maut selepas motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah lori di Jalan Syed Putra di sini kira-kira jam 7.59 pagi.

Muhammad Shakiran Shamsuddin, 30, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala isterinya, Nurul Ashikin Kamaruddin, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.

Artikel Berkaitan:

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota polis, isteri maut kemalangan