Perak kaji tambah baik infrastruktur sistem pengairan

Gambar hiasan. Gambar kecil: Abdul Yunus
Gambar hiasan. Gambar kecil: Abdul Yunus
A
A
A

BAGAN SERAI - Kerajaan Perak sedang mengkaji penambahbaikan infrastruktur sistem pengairan untuk jangka masa panjang sebagai usaha mengurangkan kerosakan sawah padi akibat banjir yang kini melanda kawasan Parlimen Bagan Serai.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, ia perlu bagi memastikan kerosakan sawah dapat diminimumkan apabila berlakunya bencana seperti banjir.

Katanya, sawah padi seluas 147 hektar yang melibatkan Kampung Matang Merbau, Kampung Parit Mat Keling, Kampung Parit Aki Kalang, Kampung Parit Simpang Empat, Kampung Parit Simpang Lima, Kampung Parit J dan Kampung Parit Air Itam telah terjejas akibat banjir itu.

Ia juga telah mengakibatkan 117 orang pesawah mengalami kerugian sebanyak RM125,000, katanya.

"Kerajaan negeri memandang serius kerosakan sawah padi kerana punca kejadian itu disebabkan hujan lebat yang berterusan pada musim tengkujuh," katanya pada sidang media selepas melawat sawah padi di Kampung Matang Merbau di sini hari ini.

Kejadian sawah padi ditenggelami banjir berlaku di Parlimen Bagan Serai sejak 21 Oktober lalu akibat hujan lebat pada musim tengkujuh.

Abdul Yunus berkata, antara tindakan yang diambil pada peringkat awal ialah menerusi agensi pertanian seperti Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Jabatan Parit dan Saliran dan Jabatan Pertanian dengan meletakkan pam sementara untuk mengepam air dari sawah padi.

Menurutnya, Kerajaan Perak juga akan menyalurkan bantuan berbentuk wang tunai atau menyediakan benih padi menerusi tabung bencana kepada petani yang terlibat dengan kerosakan sawah padi.

Artikel Berkaitan:

“Bantuan benih tersebut mengikut keluasan sawah yang dimiliki petani dan kini Jabatan Pertanian negeri sedang membuat bancian bagi lot sawah yang terbabit,” katanya. - Bernama