LTTE: Penghantar surat didakwa

Seorang penghantar surat S.Teran, 38, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE, awal bulan ini. - Foto Bernama
Seorang penghantar surat S.Teran, 38, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE, awal bulan ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEGAMAT - Seorang penghantar surat didakwa di Mahkamah Sesyen Segamat hari ini atas pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) awal bulan ini.

S Teran, 38, yang bekerja di sebuah pejabat peguam di sini memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Rasidah Roslee.

Tertuduh yang masih bujang dan bakal melangsungkan perkahwinan pada Disember ini didakwa melakukan perbuatan itu di alamat 10M, Jalan Genuang, Kampung Paya Pulai di sini kira-kira jam 6.30 petang 10 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.

Jika sabit kesalahan, Teran boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda dan dilucuthakkan mana-mana item tersebut.

Peguam A Mathan memohon mahkamah membenarkan jaminan diberikan kepada Teran dengan alasan tertuduh mengalami masalah tulang belakang.

Tertuduh katanya menjalani rawatan akibat sakit itu pada 25 Julai lepas dan kini memerlukan rawatan susulan.

Timbalan Pendakwa Raya Low Qin Hui dalam hujahnya pula menegaskan seksyen berkenaan menetapkan bahawa jaminan tidak boleh diberikan kepada tertuduh kerana melibatkan keselamatan negara dan kepentingan awam.

Artikel Berkaitan:

Qin Hui turut memohon tertuduh dibawa ke Penjara Sungai Buloh, Selangor memandangkan tertuduh mempunyai pertuduhan lain di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Khamis ini.

Rasidah dalam penghakimannya berkata permohonan tertuduh untuk diberikan jaminan tidak dipertimbangkan sehingga dia mengemukakan laporan perubatan lengkap bagi diteliti mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 November ini untuk pengurusan kes bagi meneliti laporan perubatan tersebut dan laporan pakar forensik. - Bernama