Percikan bunga api perdaya manusia

A
A

GARAPAN skrip tentang bunga api tetap sama pada setiap acara besar. Terbaharu, bunga api muncul lagi untuk memeriahkan sambutan Tahun Baru 2019.

Bunga api muncul pada setiap perayaan besar di negara ini.

Penulis sendiri menerima banyak pesanan WhatsApp daripada teman taulan yang berlatar belakang percikan bunga api. Penulis juga tahu ada yang membawa keluarga melihat percikan bunga api pada malam sambutan Tahun Baru 2019.

Persoalan penulis apakah faedah yang kita terima daripada bunga api? Apa yang pasti, percikan bunga api dan mercun adalah sebahagian daripada budaya masyarakat China di negara ini.

Bunga api ialah sejenis pameran estetika pertunjukan yang sudah lama wujud berakar dalam masyarakat sejak berabad lamanya.

Peralatan ini dibuat daripada bahan letupan lemah berbentuk serbuk hitam atau dikenali sebagai ubat bedil yang mampu menimbulkan kesan percikan api.

Bahan letupan yang mengandungi charcoal, sulfur dan potassium nitrate yang disebatikan dengan bahan aluminium ini bertindak seperti mesin roket dan akan mengeluarkan letupan apabila dikenakan haba.

Proses pembuatan bahan letupan untuk bunga api dan mercun ini menggunakan teknologi bom yang memerlukan kos yang tinggi.

Penulis berpendapat bahawa ia merupakan suatu pembaziran sekiranya peruntukan hanya digunakan untuk merayakan sesuatu perayaan.

Teknologi ini harus dan mesti digunakan untuk ciptaan yang lebih bermanfaat untuk sistem kejuruteraan letupan di negara ini.

Bahan serbuk letupan ialah empat ciptaan hebat China selain kompas, kertas dan sistem percetakan. Empat ciptaan ini bukti kehebatan tamadun kemajuan sains dan teknologi China.

Pada zaman Dinasti Song, bahan letupan ‘Charlie Cannon’ dan senjata api ‘Zhentian Lei’ telah dicipta oleh ahli fizik Li Gang pada 1126. Senjata tersebut telah digunakan ketika menghadapi serangan tentera Nanjing Jin Yuan pada 1132 SM.

Berita penggunaan bahan serbuk letupan yang dicipta orang China tersebar luas ke negara-negara Timur Tengah dan Eropah.

Orang Arab menyebutnya sebagai ‘Salji China’, manakala orang Parsi memanggilnya ‘Garam China’. Pada abad ke-13, ahli perniagaan India telah masuk ke China untuk mengeksport serbuk letupan ke benua Arab dan Sepanyol.

Penggunaan bahan serbuk letupan digunakan dalam peperangan yang berlarutan antara orang Arab dan Shacheng Sepanyol pada 1260.

Orang Eropah kemudiannya secara senyap-senyap membangun dan menambah baik teknologi pembuatan senjata serbuk letupan. Dari sini, bermulalah perkembangan penciptaan bahan serbuk letupan lebih canggih dan menjadi sejarah penting Renaissance Eropah.

Namun, sebenarnya ALLAH SWT telah memberi amaran tentang bunga api dan bahan serbuk letupan kepada manusia dalam Surah Al-Baqarah [2:17] bermaksud: “Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) ALLAH hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).”

Penulis juga ingin mencadangkan kepada masyarakat agar mengambil iktibar dan menjadikan percikan bunga api yang terpancar tinggi begitu gah sebagai satu bentuk peringatan bagaimana seandainya percikan bunga api itu sebenarnya benar-benar api mampu membakar, sebagaimana peringatan ALLAH dalam Surah Al-Mursalaat [77:29-33]

“(Dikatakan kepada mereka pada hari kiamat) Pergilah kamu mendapatkan azab yang dahulunya kamu mendustakannya; Pergilah kamu mendapatkan naungan yang mempunyai tiga cabang; yang tidak melindungi dan tidak pula menolak nyala api neraka; Sesungguhnya neraka itu melontarkan bunga api sebesar dan setinggi istana; Seolah-olah ia iringan unta yang kuning.”

Tetapi, ALLAH Maha Penyayang kepada hamba-Nya. Kewujudan bunga api sebenarnya boleh dimanfaatkan kepada manusia itu sendiri sebagaimana yang termaktub di dalam Surah Ar-Ra’d [13:17]:

“... Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah ALLAH memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah ALLAH menerangkan misal-misal perbandingan'.

Jelas sekali, peringatan ALLAH tidak boleh dipandang sepi. Seharusnya jurutera bahan letupan atau jurutera bahan kekuatan yang ada di negara ini menambah baik ciptaan bunga api dan bahan letupan kepada masyarakat.

* Penulis adalah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.