Jangan jadi saudara syaitan

A
A

AL-QURAN mengungkap kalimah “ikhwan syayathin” (saudara syaitan), bila menyentuh soal pembaziran. Surah Isra’ ayat 27 telah membangkitkan soal pembaziran, dan jelas ia adalah suatu kecaman terhadap sesiapa yang bergaya hidup membazir. Asbabun Nuzul ayat ini diriwayatkan ketika Rasulullah memberi tanah (rampasan perang) di Fadak kepada Fatimah.

Secara umumnya pembaziran bermakna menggunakan sesuatu secara berlebihan sehingga berbaki dan dibuang.

Namun secara lebih luas ia juga bermakna menyalahgunakan sesuatu sumber sama ada yang zahir mahupun tidak nampak. Sumber boleh sahaja bersifat wang dan harta mahupun kesihatan, ilmu, sumber alam, kepakaran, bakat, masa, ruang, peluang, keamanan, kesejahteraan.

Tidak cermat dan tidak berhati-hati ketika mengguna mana-mana sumber tersebut adalah juga dianggap pembaziran.

Pembaziran juga boleh bermaksud menggunakan sesuatu yang membawa mudarat sama ada mental, fizikal, ekonomi, keselamatan mahupun alam lingkungan.

ALLAH SWT menegaskan pembaziran dikaitkan dengan tabiat makhluk yang abadi dilaknati iaitu syaitan. Maka ia sangat serius dan terkait langsung dengan kekufuran kepada Tuhan dan mengingatkan bahawa syaitan adalah musuh umat manusia yang sebenarnya.

Syaitan mula disifatkan dengan ciri bongkak dan angkuh bila enggan menurut perintah ALLAH SWT. Kemudian syaitan dicap sebagai makhluk yang kufur dan sesat akibat berasa diri lebih hebat.

Dari inilah bermula sumber kerosakan dalam kalangan manusia. Kerosakan bermula dengan pembaziran menjadi propaganda paling utama oleh syaitan kepada semua peringkat manusia dan pangkat.

Kini pembaziran seolah-olah menjadi polisi dan budaya semua. Lalu kedengaran gejala pembaziran yang melibatkan wang, makanan, peralatan, premis dan bangunan, agensi swasta mahupun kerajaan pusat dan kerajaan negeri, agensi lokal mahupun nasional.

Kini di negara yang mengejar kemajuan, kedengaran jenis pembaziran dan pembuangan sampah yang semakin tidak terkendali. Buangan daripada pelbagai sumber berupa sisa domestik, industri, pertanian, pembuatan dan pembinaan, menjadi beban besar kepada negara.

Pembaziran ada kaitan dengan ciri keangkuhan. Inilah ciri syaitan yang dilaknati. Dengan menanam sifat angkuh dan seterusnya menyuburkan sifat membazir serta akhirnya menebarkan ‘itiqad kekufuran kepada Tuhan, ikhwan syayatin berkembang sehingga membentuk tamadun.

Pelopor dan penaja tamadun berteraskan pembaziran dibangunkan melalui projek mega, makanan berproses, industri pengiklanan, teknologi pakai dan buang, monumen pencakar langit, hotel super mewah, kota raya mega, pasar raya dan mall mewah serta industri persenjataan.

Menurut laporan 2016, purata seorang warga Malaysia membazir 50,000 liter air setiap tahun.

Ini melebihi penggunaan air yang direkod di negara seperti Amerika Syarikat dan Australia pada tahun sama. Keperluan air setiap orang sehari yang ditetapkan oleh PBB adalah 165 liter, tetapi setiap rakyat Malaysia mengguna 300 liter sehari.

Di Malaysia pembaziran makanan sangat memalukan. Ia menjadi simbol ikhwan syayatin yang dimegahkan iaitu pembuangan makanan sehingga mencecah 15,000 metrik tan makanan sehari (dari jumlah itu, 3,000 metrik tan sehari masih boleh dimakan). Lebih berat lagi 635,000 metrik tan makanan dibuang dalam bulan Ramadan sahaja.

Dengan populasi sejumlah 32 juta, Malaysia menghasilkan 38,000 metrik tan sampah pepejal setiap hari. Hanya 24% dari jumlah sampah itu yang dapat diproses untuk dipisah-pisahkan dan dikitar semula, manakala 76% lagi dibuang ke tempat pembuangan (landfill).

Untuk menguruskan sampah yang semakin meningkat sebuah akta terpaksa diwujudkan iaitu Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam (Akta 673).

Itu pun kerajaan perlu mencari kaedah baharu untuk menguruskan sampah kerana sampah sudah berlipat kali ganda banyaknya. Malaysia terpaksa berbelanja sebanyak RM2 bilion setiap tahun untuk menguruskan sampah.

Jika dirangkul pembaziran termasuk sumber manusia dan alam dengan segala keseimbangannya, ternyata pembaziran adalah isu sangat kritikal.

Ia bermula dari nilai pada setiap diri rakyat di negara ini sehingga polisi kerajaan untuk membanteras pembaziran. Sesungguhnya pembaziran berimplikasi berat bukan sahaja kepada kualiti hidup malah kepada masa depan negara.

Salah memanfaatkan sumber yang diamanahkan adalah punca kepada keruntuhan masyarakat dan negara. Kita harus belajar dari pengelaman dan peristiwa silam.

Banyak negara tumbang akibat tamadun yang dicemari dengan sikap tamak dan membazir.

* Penulis ialah Presiden majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.