Gempa selatan Filipina: Penduduk lari bertempiaran

507547
507547
A
A
A
MANILA - Gempa bumi berkekuatan 6.6 magnitud dilaporkan melanda selatan Filipina awal hari ini menyebabkan kecederaan dan kerosakan bangunan, kata pihak berkuasa.

Penduduk yang ketakutan lari bertempiaran ke jalan raya susulan gempa yang melanda Pulau Mindanao itu.

"Kawasan perbandaran kami telah musnah dan kami menerima banyak laporan kecederaan namun ia perlu disahkan terlebih dahulu," kata Reuel Limbungan, Datuk Bandar Tulunan, sebuah bandar berhampiran pusat gempa itu kepada AFP.

Pasukan penyelamat kini dikerah bagi menilai kerosakan di kawasan terbabit yang turut terputus bekalan elektrik dan talian telefon susulan gempa.

"Berkemungkinan berlaku gempa susulan yang mampu menyebabkan lebih banyak kerosakan.Penduduk dinasihatkan untuk berada di luar kediaman buat masa ini," kata Renato Solidum, ketua institut seismologi Filipina.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa asal turut diikuti beberapa gegaran kecil.

Keadaan itu menyebabkan penduduk enggan kembali ke dalam bangunan kerana bimbang terperangkap dalam sebarang runtuhan.

Kawasan terbabit masih terkesan akibat gempa 6.4 magnitud yang melanda kurang dua minggu lalu dan mengorbankan sekurang-kurangnya lima nyawa serta memusnahkan berpuluh bangunan. - AFP