X

Kindly register in order to view this article
!

Kuala Lumpur bandar untuk semua

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan menyampaikan ucapan ketika Bengkel Hala Tuju Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 di ibu negara 22 Oktober lalu.
A
A

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memfokuskan perancangan masa hadapan dan jangka panjang dengan menyediakan pelan pembangunan Kuala Lumpur 2040.

Ia mengambil kira cabaran bakal dihadapi daripada pelbagai perspektif seperti perubahan demografi, perubahan iklim, perkembangan teknologi yang dihadapi bandar Kuala Lumpur.

Perancangan Kuala Lumpur 2040 menetapkan Visi ‘Kuala Lumpur Bandar Untuk Semua’ yang bersifat lebih inklusif, perkongsian, kesaksamaan, mempunyai kepelbagaian dan boleh diakses serta berdaya tahan dan mampan untuk memupuk kemakmuran untuk semua.

Visi itu disokong oleh enam matlamat iaitu inovatif dan produktif, inklusif, sihat dan bertenaga, pintar iklim dan karbon rendah, pergerakan yang cekap dan mesra alam serta pembangunan bersepadu dan lestari.

Mengambil kira Agenda Perbandaran Baharu yang berpandukan prinsip No One Left Behind, penekanan yang kuat diberi untuk memperkukuh inklusiviti dan komuniti bandar yang saksama.

Pelbagai kemudahan perumahan, infrastruktur termasuk pengangkutan awam kepada semua golongan termasuk kanak-kanak, golongan belia, orang kurang upaya dan warga emas.

Sedia perumahan berkualiti

Bandar Raya Kuala Lumpur juga akan mempunyai peratusan warga emas yang lebih besar berasaskan statistik dari Jabatan Perangkaan.

Justeru, perancangan dan pembangunan mengambil kira konsep baharu dalam penyediaan kemudahan kediaman dan juga ruang-ruang komersial seperti senior living concept, micro housing, co-living dan commune office yang mana berkaitan dengan kadar penghunian dalam setiap unit.

Usaha itu akan diperluaskan dengan tumpuan kepada penyediaan perumahan berkualiti dan pengagihan lebih saksama, meningkatkan kualiti hidup kawasan kejiranan untuk memupuk integrasi sosial yang lebih baik.

Aspek aksesibiliti juga akan diberi tumpuan dengan meningkatkan mobiliti dan akses mudah dari tempat kediaman ke tempat bekerja dan kemudahan awam.

Bengkel Hala Tuju Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 berlangsung di Hotel Pacific Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu.
Bengkel Hala Tuju Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 berlangsung di Hotel Pacific Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu.

Perancangan 2040 juga akan menambah baik dan meluaskan rangkaian laluan pejalan kaki dan basikal yang berterusan, lebih selesa dan mesra pengguna.

Perancangan itu amat penting dengan mengintegrasikan rangkaian pejalan kaki dan berbasikal di setiap pembangunan serta menyediakan kemudahan infrastrukturnya terutama di ruang jalan, rizab sungai, rizab utiliti dan laluan antara bangunan.

Bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam, penambahbaikan juga dibuat kepada sambungan first and last mile dari stesen pengangkutan seperti MRT dan LRT ke tempat bekerja atau tempat tinggal bagi memastikan Kuala Lumpur sebagai Bandar Mesra Pengangkutan Awam.

Ia juga bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas dan selaras dengan Kuala Lumpur Low Carbon Society Blue Print untuk mencapai 70 peratus pengurangan Karbon di Bandar Raya Kuala Lumpur sehingga tahun 2030.

Tingkat penggunaan pengangkutan awam

Kuala Lumpur juga berhasrat untuk memastikan penggunaan pengangkutan awam ditingkatkan kepada 60 peratus berbanding 40 peratus pengguna kenderaan persendirian di jalan raya.

Perancangan masa hadapan Kuala Lumpur juga perlu mengambil kira faktor bandar sihat dan cergas bagi meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Strateginya adalah dengan menyediakan ruang hijau untuk pelbagai aktiviti untuk menarik lebih ramai warga kota terlibat dalam aktiviti luar serta melibatkan gaya hidup aktif.

Bandar Kuala Lumpur juga dilihat akan lebih bersemangat untuk meraikan kepelbagaian dalam seni, budaya, dan warisan. Justeru itu, DBKL juga akan memastikan persekitaran yang menarik dan kreatif diwujudkan.

Penyediaan lebih banyak pilihan rekreasi, kawasan hijau dan kewujudan reruang awam (public realm) yang vibran dengan fasiliti baharu dengan pelbagai aktiviti aktif akan menjadi tarikan baharu pelancong.

Wujudkan persekitaran bandar mampan

Perancangan Kuala Lumpur juga perlu mengambil kira perubahan iklim yang mempunyai implikasi fizikal, sosial dan ekonomi. Ini bagi mewujudkan persekitaran bandar yang mampan dan berdaya tahan terhadap kesan perubahan iklim dan risiko bencana.

Justeru, perancangan Kuala Lumpur akan memastikan perlindungan kepada aset biodiversiti Bandar Kuala Lumpur seperti hutan sedia ada dan hutan bandar baharu sebagai aset semula jadi Kuala Lumpur.

Peningkatan jumlah penduduk dan pembangunan yang berterusan di Kuala Lumpur dijangka akan memberi tekanan ke atas perancangan guna tanah serta ketersediaan tanah yang terhad merupakan satu cabaran utama bagi pembangunan bandar di Kuala Lumpur.

Strategi pengurusan tanah dan spatial di bandar akan merangkumi penggunaan tanah yang optimum dan lebih produktif, menjana pembangunan semula kawasan lama, menyepadukan pembangunan guna tanah dan pengangkutan awam, meningkatkan perkongsian ruang dan menguruskan kawasan khas dengan lebih berkesan.

Kuala Lumpur perlu bersedia untuk bersaing di peringkat antarabangsa pada abad ke-21 dan dengan perubahan sepanjang 20 tahun lalu, corak pembangunan Kuala Lumpur boleh diramalkan.

Ia bagi merancang suatu pembangunan yang holistik dan tadbir urus yang cekap dan kini adalah masa yang tepat untuk bandar Kuala Lumpur mempunyai rancangan pembangunan baharu dengan visi baharu yang lebih inklusif.

Usaha itu bagi memastikan setiap golongan penduduk dan warga Kuala Lumpur mempunyai rasa kepunyaan serta rasa bertanggungjawab ke atas setiap pembangunan Bandar Kuala Lumpur.

DBKL menjemput semua warga kota memberi pandangan dan cadangan serta idea bagi perancangan Kuala Lumpur 2040.

Semua pandangan dan cadangan serta idea boleh disalurkan secara bertulis melalui emel ke [email protected] atau Facebook Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!