2019 menuntut anjakan paradigma

A
A

SEMPENA kedatangan tahun 2019 ini saya mengajak pembaca untuk melakukan anjakan paradigma dalam setiap tindakan dan pemikiran kita.

Kebejatan dan kemunduran umat Islam ketika ini disebabkan kesilapan dalam meletakkan keutamaan dalam sesuatu permasalahan.

Anjakan paradigma bermula daripada diri kita sendiri sebelum dapat memperbetulkan orang lain. Kita perlu beralih dari perspektif konvensional kepada yang lebih baik lagi, beralih daripada mementingkan format dan simbol kepada hakikat dan kandungan.

Umat Islam juga perlu mengalihkan tumpuan daripada bercakap tentang masalah furuq kepada penyelesaian masalah pokok.

Daripada menyusahkan kepada memudahkan, sikap jumud dan taklid buta kepada ijtihad dan pembaharuan, sikap eksklusif kepada inklusif, berlebih-lebihan kepada sederhana, berkeras kepada hikmah dan pertelingkahan kepada perpaduan serta pendamaian.

Anjakan paradigma dalam erti kata yang lain melakukan penghijrahan minda dan tindakan ini amat penting ke arah mengembalikan kecemerlangan umat Islam.

Penghijrahan ini merupakan satu proses pembinaan tamadun sebagaimana qudwah yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, penghijrahan dari kota Makkah ke kota Madinah dalam usaha memartabatkan agama Islam. Akhirnya, Islam berkembang ke seantero pelosok dunia melalui penghijrahan yang diatur oleh ALLAH SWT ini.

Menurut Syed Naquib Al-Attas dalam lembaran sejarah peradaban Islam, beliau mendefinisikan tamadun sebagai pembangunan yang seimbang antara lahiriah dan rohaniah.

Kedua-dua aspek ini adalah saling kait dan sangat penting dalam membentuk jati diri umat Islam yang sempurna.

Dalam konteks alam Melayu, Syamsul Alam MS dalam bukunya “Sistem kebudayaan Melayu tradisi dan hubungannya dengan konsep Islam untuk pembangunan sosioekonomi” menjelaskan faktor-faktor yang memundurkan peradaban Melayu seperti kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka di tangan Portugis yang membawa kepada perubahan fundamental terhadap struktur perekonomian orang Melayu, kejatuhan kuasa politik telah melemahkan ekonomi serta penguasaan perdagangan orang Islam dan diganti dengan etnik Cina yang sehingga sekarang mendominasi aktiviti perniagaan rantau ini.

Sebaliknya minat, bakat dan keahlian masyarakat Melayu Islam dalam bidang perdagangan semakin merosot sementara sifat-sifat keusahawanan seperti kreatif, inovatif dan dinamik tidak lagi membudaya dalam kehidupan orang Melayu Islam di negara kita.

Dalam konteks susur galur evolusi umat Melayu di rantau ini, perubahan yang fundamental bermula dari sektor perdagangan (zaman kesultanan Melaka) kepada pertanian (zaman penjajahan) telah membawa impak besar kepada perubahan kebudayaan Melayu Islam.

Perkara ini dapat dilihat daripada segi sikap, pandangan hidup orang Melayu itu sendiri. Pergantungan kepada tanah, keengganan meninggalkan kampung halaman, mengamalkan hidup sekadar sederhana mencorak pola pemikiran dan sistem nilai masyarakat Melayu Islam.

Sifat tidak peka kepada ekonomi, sistem politik dan sosial juga perlukan kepada revolusi minda dan tindakan yang lebih berani dan berpandu untuk mencapai kejayaan dalam semua aspek kehidupan.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa bangsa Melayu Islam begitu dimanjakan dengan kemewahan di tanah air ini.

Sudah tentu peradaban dan kecemerlangan sesuatu tamadun itu wahananya adalah ilmu. Dengan ilmu umat Islam mampu berfikir dengan terbuka dan lebih matang untuk melihat segala permasalahan yang melanda khususnya segala permasalahan yang berlaku di Malaysia pada hari ini.

Jika umat Melayu Islam tidak mengkaji dan sambil lewa sahaja dalam membuat sesuatu keputusan serta tindakan ia sememangnya hanya akan merugikan umat Islam.

Ketirisan minda umat Islam ini akhirnya akan diambil kesempatan oleh pihak musuh untuk menghancurkan Islam secara senyap mahupun terang-terangan dari segi akidah dan akhlak umat Islam.

Seperkara lagi yang saya perhatikan ketika ini ialah pelbagai isu yang melanda negara diukur dari parameter politik kepartian semata-mata dalam kalangan orang Melayu/Islam.

Hal yang sama tidak berlaku dalam kalangan orang bukan Islam yang sentiasa melihat sesuatu dari lensa yang menguntungkan kepentingan kaum dan bangsa mereka.

Sikap fanatik kepada politik kepartian dan tidak memahami waqi setempat menjadi salah satu faktor mengongkong kegemilangan umat Islam.

Pada ketika ini masyarakat lebih mementingkan hak asasi berbanding dengan tanggungjawab yang hendak dilaksanakan.

Hal demikian menjadikan seseorang itu lebih mementingkan diri sendiri berbanding kepentingan awam. Natijahnya umat Islam secara keseluruhannya tergelincir dari landasan kegemilangan itu sendiri.

Sesungguhnya proses merealisasikan impian kejayaan Islam adalah bermula dari diri kita sendiri, ahli keluarga, masyarakat seterusnya negara.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.