X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Penduduk tarik nafas lega, bakal diami rumah baharu

Kampung Lachang berubah sepenuhnya apabila Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok ke Kesban, Tumpat Fasa 1 di kawasan berkenaan dimulakan sejak dua bulan lalu.
A
A

RANTAU PANJANG - [DIKEMASKINI] Sebanyak 19 keluarga di Kampung Lachang menarik nafas lega apabila pengorbanan mereka membenarkan kediaman dirobohkan bagi memberi laluan kepada Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok ke Kesban, Tumpat Fasa 1 berbaloi selepas menerima pampasan daripada kerajaan Persekutuan.

Bayaran tersebut dianggap sebagai rezeki kepada mereka untuk membina rumah yang lebih selesa serta bebas daripada banjir, berbanding kawasan didiami sebelum ini yang sering dinaiki air.

Mohd Yusoff Adam, 48, berkata, biarpun sedih terpaksa 'berpisah' dengan rumah lama bagi memberi laluan kepada projek berkenaan, namun dia lega apabila masih dapat menetap di Kampung Lachang.

"Alhamdulillah, saya dan keluarga masih lagi menetap di Kampung Lachang, begitu juga dengan mereka yang terlibat dengan projek ini," katanya.

Menurutnya, kesemua keluarga terlibat sudah menerima wang pampasan dan kerja-kerja pembinaan rumah baharu yang lebih tinggi dan selesa sedang giat dijalankan, sambil memberitahu ketika ini, keluarga terlibat tinggal di rumah transit sementara menunggu penempatan kekal siap.

Sementara itu, Jasma Asmida Muhammad Jusoh, 26, menyambut baik pembinaan projek berkenaan yang dijangka akan menyelesaikan masalah 'banjir termenung' di Kampung Lachang.

"Setiap kali banjir, Kampung Lachang paling lewat akan pulih walaupun kawasan-kawasan lain sudah kering, kadang-kadang ia akan mengambil masa selama tiga bulan," katanya.

Jasma Asmida (kanan) bersama suami menunjukkan rumah baharu mereka di Kampung Lachang.
Jasma Asmida (kanan) bersama suami menunjukkan rumah baharu mereka di Kampung Lachang.

Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok ke Kesban, Tumpat Fasa 1 yang sedang berjalan ketika ini difahamkan menjadi jalan penyelesaian terbaik mengatasi masalah banjir di Kampung Lachang yang menjadi lokasi pertama setiap kali berlakunya banjir di negeri ini berikutan limpahan air dari Sungai Golok.

Situasi itu menyebabkan 19 buah keluarga di kampung berkenaan sebelum ini terpaksa bermalam di pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran musibah banjir setiap kali Monsun Timur Laut melanda negeri ini.

Difahamkan, projek lebih 54 kilometer itu bermula dari Tasik Danau Tok Uban, Pasir Mas hingga Kesban, Tumpat membabitkan empat fasa.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus