Buku konvensional masih relevan dalam arus dunia digital

Kumpulan Media Karangkraf mengadakan Jualan Gudang Akhir Tahun 2019.
Kumpulan Media Karangkraf mengadakan Jualan Gudang Akhir Tahun 2019.
A
A
A

BERMULA Jumaat lepas, Kumpulan Media Karangkraf mengadakan Jualan Gudang Akhir Tahun 2019 khusus untuk pencinta buku.

Merak Jalanan lihat sejak daripada awal jualan itu bermula, orang ramai tidak putus-putus mengunjungi Kompleks Kumpulan Media Karangkraf yang terletak di Seksyen 15 Shah Alam.

Biarpun jumlahnya tidak boleh dibandingkan dengan karnival jualan tudung bawal atau kain pasang namun buku-buku konvensional ini masih ada peminatnya tersendiri.

Walaupun dihambat dengan kewujudan pelbagai bahan bacaan digital seperti e-book, e-novel dan sebagainya tetapi naskhah buku ternyata masih relevan di negara ini.

Ramai yang masih setia membaca buku dalam bentuk fizikal tidak kira buku ilmiah, novel mahupun bacaan santai.

Meskipun semalam dan kelmarin adalah cuti umum sempena Hari Deepavali, Merak Jalanan dapat lihat pengunjung bertali arus mengunjungi Jualan Gudang Akhir Tahun 2019 sambil balik ‘mengusung’ pelbagai bahan bacaan yang dibeli dengan harga murah.

Melalui pandangan singkat ini Merak Jalanan dapat katakan bahawa buku konvensional masih bertakhta di hati orang kita.

Apatah lagi bahan bacaan terbitan Kumpulan Media Karangkraf amat berkualiti dan memenuhi selera majoriti pembaca di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan Kajian Interim Tabiat Membaca Rakyat Malaysia 2014, didapati bahan bacaan pilihan rakyat Malaysia ialah majalah sebanyak 62.8 peratus; akhbar (61.2 peratus); buku ilmiah (54.8 peratus); novel dan fiksyen (47 peratus); bahan dalam talian (46.4 peratus); buku bukan fiksyen (29.9 peratus); komik (25.3 peratus) dan jurnal (19.9 peratus).

Kepada yang belum berpeluang hadir ke jualan gudang ini, anda masih ada masa. Ini kerana jualan ini berlangsung selama seminggu sehingga Ahad depan. Melihat trend pembaca di jualan gudang ini, Merak Jalanan percaya industri penerbitan buku masih ada peminat tegar!