Kakak pilu serah adik pada JKM

Zubaidah (kiri) melihat keadaan adiknya, Syafiqah yang hanya mampu baring sahaja.
Zubaidah (kiri) melihat keadaan adiknya, Syafiqah yang hanya mampu baring sahaja.
A
A
A

MACHANG - Desakan hidup menyebabkan seorang kakak membuat keputusan menyerahkan hak penjagaan adiknya yang menghidap penyakit hydrocephalus atau lebihan cecair dalam kepala kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Wanita itu juga terpaksa membuat keputusan sedih untuk keluarganya bagi memastikan kebajikan adiknya, Siti Nurul Syafiqah Hassan, 13, yang menghidap penyakit itu sejak berusia 7 bulan tidak terabai.

Zuraidah Hassan, 45, yang hanya bergantung kepada hasil menoreh getah mengakui hiba dengan keputusan itu tetapi dia perlu menjaga kebajikan dua anak berusia 9 dan 17 tahun dalam keadaan sumber kewangan yang tidak menentu.

Kakak sulung daripada 10 beradik berlainan ibu dengan Syafiqah itu mengambil tanggungjawab menjaga remaja berkenaan sejak ibu Syafiqah, Rosnani Mohamad, 41, meninggal dunia dua hari lalu akibat komplikasi kencing manis.

Lebih meluluhkan hati Zuraidah, sejak peninggalan ibunya, Syafiqah sering kali mengalirkan air mata dan memanggil arwah ibunya dengan panggilan 'mi'.

"Sejak ibu Syafiqah meninggal, saya ambil alih jaga amanah ALLAH ini tetapi tidak mampu memberi perhatian sepenuh masa kerana saya dan suami hanya menoreh getah sahaja.

"Syafiqah pula sering diserang sawan dan memerlukan perhatian bagi memastikan keadaannya sentiasa baik.

"Luluh hati saya membuat keputusan ini tetapi selepas berbincang bersama adik- beradik yang lain kami sepakat untuk serahkan kepada JKM," katanya ketika ditemui di Kampung Pangkal Kerdas, Tok Bok di sini.

Artikel Berkaitan:

Syafiqah sebelum ini dilahirkan tidak cukup bulan dan terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II selama 32 hari sebelum dibenarkan pulang.

Bapa Syafiqah, Hassan Daud meninggal dunia pada 2012 akibat penyakit paru-paru berair dan ibunya mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Osman Kasim, 62, empat tahun lalu.

Sejak dilahirkan, Syafiqah hanya memakai lampin pakai buang dan mendapat bantuan bulanan JKM sebanyak RM350 sebulan.