Ibu harap keajaiban anak sedar dari koma

Jaslina senantiasa bersama anaknya dan mengharapkan kesihatan anaknya sembuh.
Jaslina senantiasa bersama anaknya dan mengharapkan kesihatan anaknya sembuh.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang ibu mengharapkan keajaiban berlaku agar anaknya yang koma sejak dua bulan lalu akibat kemalangan, kembali sedar seperti biasa.

Jaslina Kamarudin, 56, dari Taman Emas Suria berkata, biarpun doktor telah memaklumkan bahawa ia mustahil selain mengambil masa agak panjang untuk sembuh, namun nalurinya sangat merindui panggilan dan belaian anak sulung daripada dua beradik itu.

Menurutnya, sejak kemalangan membabitkan motosikal yang ditunggang 27 Ogos lalu, Mohd Izzad Syayuti Rahim, 31, tidak sedarkan diri sehingga kini.

"Dia bukan sahaja koma dan patah tangan tetapi tempurung kepala telah dibuang bagi mengeluarkan darah beku. Biarpun jika dia sedar suatu hari nanti, doktor dah beritahu dia tidak sempurna seperti dulu.

"Walaupun apapun, saya tetap terima dia serta rindu sangat nak dengar dia panggil saya macam dulu, nak dia buka mata seperti selalu," katanya.

Difahamkan semasa kejadian, mangsa dikatakan terjatuh selepas bergesel dengan sebuah motosikal lain semasa melalui jalan berdekatan Taman Kelisa Ria, Sungai Petani.

Beberapa hari lalu katanya, Mohd Izzad sudah mula memberikan respons ketika namanya dipanggil mahupun ketika disentuh dengan memusingkan kepala.

"Doktor juga beritahu bahawa ingatannya ambil masa untuk pulih, begitu juga dengan lain-lain pergerakan, mungkin akan terlantar dalam tempoh masa yang tidak diketahui," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengharapkan keajaiban berlaku agar anak yang koma dua bulan lalu kembali pulih seperti biasa.
Mengharapkan keajaiban berlaku agar anak yang koma dua bulan lalu kembali pulih seperti biasa.

Menurut Jaslina, sejak kemalangan, dia tidak lagi mengambil upah jual kuih kerana terpaksa menumpukan sepenuh perhatian kepada Mohd Izzad, manakala pendapatan suami yang mengambil upah melakukan kerja-kerja besi pula hanya sekadar cukup makan.

Katanya, anaknya kini dibenarkan pulang ke rumah setelah dua bulan menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani sebelum dipindahkan ke Hospital Lama Sungai Petani.

Jaslina berkata, dia dan suami terpaksa menyediakan peruntukan khas untuk keperluan anaknya itu selain katil boleh laras bagi pesakit terlantar, lampin pakai buang, susu khas dan peralatan perubatan lain.

Setakat ini katanya, tilam angin dan mesin sedut kahak disediakan pihak hospital, manakala katil boleh laras terpaksa dibeli dengan wang yang dipinjam.

Sehubungan itu, mana-mana pihak yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Bank bernombor 7046705665 atas nama Jaslina.