Pembina menang bida kambing, biri-biri

Sebanyak sembilan ekor haiwan berkeliaran yang dilelong berjaya dibida dalam tempoh kira-kira 30 minit yang berlangsung di Depo Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Medang, di sini.
Sebanyak sembilan ekor haiwan berkeliaran yang dilelong berjaya dibida dalam tempoh kira-kira 30 minit yang berlangsung di Depo Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Medang, di sini.
A
A
A

KAMPUNG RAJA - Sebanyak sembilan ekor haiwan berkeliaran yang dilelong berjaya dibida dalam tempoh kira-kira 30 minit yang berlangsung di Depo Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Medang, di sini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Abd Rashid Jusoh berkata, seorang pembida, Muhammad Izzudin Tajuddin Ab Rashid, 20, berjaya membida sembilan haiwan tersebut yang terdiri daripada lima ekor kambing dan empat biri-biri.

Menurutnya, dia menewaskan sembilan pembida lain apabila menawarkan nilai bidaan tertinggi iaitu sebanyak RM2,750 daripada harga bidaan bermula RM1,200 untuk kesemua haiwan tersebut.

“Semua haiwan yang dilupus dengan cara lelongan itu adalah yang ditangkap oleh penguatkuasa MDB pada 20 Disember lepas di sekitar Kampung Bharu, Nangka dan Kuala Besut kerana berkeliaran terutama di tepi jalan.

“Tindakan lelong diambil mengikut prosuder ditetapkan selepas pemilik tidak tampil menuntut haiwan milik mereka dalam tempoh tidak melebihi tujuh hari selepas haiwan tersebut ditangkap.

“Sementara proses lelongan dilakukan oleh Pembantu Penguatkuasa Kanan MDB, Mohd Khairani Safari@Alias,” katanya.

Muhammad Izzudin Tajuddin Ab Rashid, 20, berjaya membida sembilan haiwan tersebut yang terdiri daripada lima ekor kambing dan empat biri-biri.
Muhammad Izzudin Tajuddin Ab Rashid, 20, berjaya membida sembilan haiwan tersebut yang terdiri daripada lima ekor kambing dan empat biri-biri.

Abd Rashid berkata, pihaknya akan mengadakan operasi besar-besaran sehingga Mac depan untuk menangkap haiwan yang dibiarkan lepas bebas seperti lembu, kambing dan biri-biri terutama di lokasi sering mendapat aduan ramai.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, banyak aduan dan rungutan diterima orang awam tentang kes haiwan merayau malah sehingga membahayakan pengguna jalan raya.

Sementara pembida berjaya, Muhammad Izzudin Tajuddin dari Ketereh, Kelantan berkata, dia mencuba nasib membida berdasarkan kemampuannya dan nilai semasa kesemua haiwan tersebut.

“Kerja saya memang membida barangan lelong seperti kereta, jam tangan dan pelbagai lagi samada oleh jabatan kerajaan dan sebaliknya tetapi membida haiwan ternakan ini adalah kali pertama saya masuk.

“Saya terlibat dalam bidang membida ini sejak tiga tahun lalu ketika masih belajar dan saya jual balik barangan yang saya berjaya bida dengan mendapat sedikit keuntungan,” katanya.

Muhammad Izzuddin berkata, dia mendapat bantuan daripada kenalan yang biasa dalam jual beli haiwan ternakan terutama kambing memberi nasihat kepadanya tentang harga tertinggi dapat ditawarkan sebelum proses bidaan berjalan.