Naik taraf sistem pengurusan sampah, sisa pepejal seluruh negara

Zuraida melihat Pandangan Perspektif KT Sentral sewaktu mengadakan lawatan tapak di Bandar Baharu Bukit Besar, di sini hari ini.
Zuraida melihat Pandangan Perspektif KT Sentral sewaktu mengadakan lawatan tapak di Bandar Baharu Bukit Besar, di sini hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan akan menaik taraf sistem pengurusan sampah dan sisa pepejal di seluruh negara agar lebih efektif dan cekap bagi menampung keperluan masa hadapan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, Terengganu merupakan antara negeri yang akan menaik taraf empat pusat pelupusan sampahnya dengan menggunakan teknologi yang lebih moden dan terkini.

Menurutnya, walaupun kadar penghasilan sampah di Terengganu hanya sekitar 500 tan sampah sehari berbanding negeri maju seperti Selangor yang jauh lebih tinggi iaitu kira-kira 7,000 tan sehari dan Kuala Lumpur 3,000 tan sehari, sistem pengurusan sampah dan sisa pepejal di negeri ini tidak tersusun.

“Kita kena selaraskan semua dan setelah mengkajinya, kemungkinan besar kita akan menggabungkan atau memusatkan empat kawasan utama dan membina pusat pengurusan sampah dan sisa pepejal.

“Antara yang telah dikenal pasti ialah di Sungai Ikan, Kuala Terengganu bagi sampah dari Kuala Terengganu dan Setiu, Pengkalan Keling (Besut), Tertak Batu (Marang dan Hulu Terengganu) dan Bukit Jemalang bagi Kemaman dan Dungun,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di tapak KT Sentral di Bandar Baharu Bukit Besar hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Muhamed.

Jelas Zuraida, empat pusat pelupusan sampah utama itu hanya berfungsi sebagai tempat pengumpulan sampah dan bukannya pusat pelupusan sampah yang teratur dan bersistem.

Bagi menaik taraf pusat pelupusan itu katanya, kerajaan mempertimbangkan untuk menggunakan teknologi yang lebih canggih tapi kecil kerana kapasiti sampah di Terengganu masih belum sampai ke peringkat tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Antara kaedahnya adalah dari segi pengasingan sampah (MRF) dan memproses sisa makanan, manakala bakinya akan masuk ke pelupusan sampah. Selain menggunakan insinerator, kita juga akan proses sisa sampah untuk dijadikan gas dan tenaga.

“Kerajaan negeri dalam proses melantik operator yang boleh menaik taraf tapak pelupusan itu dan kita jangka ia akan dapat dilaksanakan dalam masa satu setengah tahun sebelum boleh beroperasi.

“Saya cadangkan mereka mencari ‘private finance initiative’ (PFI), yang mana pihak swasta melaburkan dahulu untuk membina tapak-tapak pelupusan ini. Jadi, ia tidak membebankan kerajaan negeri,” katanya.