X

Kindly register in order to view this article
!

Dua maut dalam tiga kemalangan

Kemalangan membabitkan sebuah kereta Jaguar dan Perodua Axia di KM 274.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan pagi tadi. - Foto President BMW Motorrad Club Malaysia, Eijarm Alfayed
A
A

SEREMBAN - Dua maut dalam tiga kemalangan berasingan melibatkan 11 kenderaan di Kilometer 273.3 dan Kilometer 274.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini pagi tadi.

Dalam kejadian bermula 6.30 pagi itu, mangsa yang maut ialah K Thanesh, 23, dan Utan Anak Nuieng, 33.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffie berkata, kemalangan pertama berlaku pada jam 6.30 pagi di Kilometer 273.3 melibatkan lima buah kenderaan apabila sebuah kereta jenis Proton Iswara dinaiki Thanesh di lorong tengah hilang kawalan.

"Kereta dinaiki Thanesh tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah kereta jenis Wolkswagen yang menyebabkan ia terbabas di lorong kanan sebelum dirempuh pula tiga kenderaan lain.

"Kemalangan itu mengakibatkan Thanesh cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandunya hanya cedera ringan," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ketika anggota polis trafik tiba di lokasi dan berhenti di lorong kecemasan untuk membuat siasatan awal, berlaku kemalangan kedua melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Corolla dipandu seorang wanita.

Antara kenderaan yang terlibat kemalangan pagi tadi. - Foto Facebook n9KiNi
Antara kenderaan yang terlibat kemalangan pagi tadi. - Foto Facebook n9KiNi

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan terjadi apabila kereta terbabit yang berada di lorong paling kanan cuba mengelak kereta Proton Iswara yang kemalangan sebelum itu.

"Namun gagal dan terbabas ke lorong kiri jalan dan melanggar Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Kamarolzaman Isha, 51, yang bertugas di lokasi.

"Akibatnya anggota itu tercampak di atas jalan dan cedera pada bahagian kepala dan anggota lain," katanya.

Azrul Hisham berkata, pada jam 7.30 pagi di Kilometer 274.4, iaitu lebih kurang satu kilometer dari lokasi kemalangan pertama, sebuah kereta jenis Jaguar dipandu lelaki berusia 35 tahun hilang kawalan lalu melanggar empat kenderaan lain.

Katanya, pemandu kereta jenis Perodua Axia dikenali sebagai Utan Anak Nuieng yang berasal dari Sarawak telah meninggal di tempat kejadian manakala penumpangnya juga berasal dari negeri sama iaitu Catherine Kumbau Anak Rabong, 40, cedera parah.

"Semua mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Bomba berusaha mengeluarkan mangsa tersepit. - Foto Facebook n9KiNi
Bomba berusaha mengeluarkan mangsa tersepit. - Foto Facebook n9KiNi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus