Flex tambah 30 pekerja OKU

Pimpinan Flex bersama kakitangan OKU bergambar bersama pada majlis berkenaan di Flex Skudai, Johor Bahru, Johor baru-baru ini.
Pimpinan Flex bersama kakitangan OKU bergambar bersama pada majlis berkenaan di Flex Skudai, Johor Bahru, Johor baru-baru ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Syarikat pembangunan teknologi dan elektronik, Flex optimis untuk menjadi salah sebuah entiti perniagaan maju dalam negara dengan mengamalkan budaya kerja cemerlang serta tidak melihat kekurangan individu.

Bagi merealisasikan impian berkenaan, seramai 30 pekerja terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) diterima bekerja sebagai kakitangan sah di dua cawangan syarikat berkenaan di negeri ini.

Naib Presiden Operasi Flex, P Viswanathan berkata, berdasarkan rekod Kementerian Sumber Manusia, terdapat kira-kira 487,000 pekerja di negara ini adalah OKU berbanding 32.4 juta rakyat yang ada.

"Bagaimanapun, hanya 3,782 pekerja OKU yang didaftarkan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kadar golongan berkenaan yang bekerja tetap berada di paras 0.8 peratus," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program OKU Flex Johor di Flex Skudai, Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

P Viswanathan
P Viswanathan

Justeru, katanya, Flex membuat keputusan untuk membuka peluang pekerjaan dengan merekrut pekerja baharu daripada kalangan mereka mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan.

"Sebenarnya, usaha pengambilan pekerja OKU ini sudah bermula di Flex Pulau Pinang pada tahun 2018 dengan kumpulan pertama seramai 27 orang sebelum menjadikan jumlah terkini kita mempunyai 120 orang pekerja OKU di sana.

"Di Johor, kita menambah lagi 30 orang untuk dua cawangan di Skudai dan Gelang Patah menjadikan kumpulan pekerja OKU Flex memegang empat peratus daripada jumlah OKU mempunyai pekerjaan tetap di Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Viswanathan berkata, pihaknya berharap pengambilan pertama kumpulan OKU di Johor ini dapat menjadi pencetus kepada syarikat untuk membawa lebih ramai lagi golongan tersebut mendapat pekerjaan tetap.

"Saya harap kumpulan ini dapat menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin serta mempelajari perkara baharu," katanya.