Wan Azizah lawat RTB Sungai Belat

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail -Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail -Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang melakukan lawatan ke Pahang hari ini melawat projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Belat di sini.

Dalam lawatan itu, beliau diberi taklimat mengenai perkembangan projek bernilai kira-kira RM118.4 juta itu oleh Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang, Ir Mohd Noor Bidin.

Mohd Noor berkata, projek bermula pada Januari 2018 itu yang dijangka siap pada Januari 2021 akan memberi manfaat kepada kira-kira 35,000 penduduk di Paya Besar dengan kawasan perlindungan seluas 1,255 hektar.

"Projek itu kini berada pada tahap kemajuan 56.54 peratus iaitu mendahului jadual yang ditetapkan," katanya.

Hadir sama dalam taklimat itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Ir Abdullah Isnin, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang.

Projek RTB Sungai Belat itu antara lain melibatkan pembinaan dinding perlindungan banjir sepanjang 2.5 kilometer dan rumah pam berserta pintu kawalan air.

Mohd Noor berkata, RTB Sungai Belat adalah sebahagian daripada Projek Rancangan Tebatan Banjir Bandar Kuantan yang akan memberikan perlindungan daripada banjir kepada 350,000 penduduk dengan kawasan perlindungan seluas 20,000 hektar.

Terdahulu Dr Wan Azizah menghadiri program bersama komuniti di Perkampungan Gudang Rasau disertai lebih 100 penduduk. - Bernama

Artikel Berkaitan: