Negara kekalkan penarafan kredit: Lim Guan Eng

Menteri Kewangan Lim Guan Eng -Foto Bernama
Menteri Kewangan Lim Guan Eng -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Negara berjaya mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia tinggi pada A3 atau A-.

Kejayaan itu menolak tanggapan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menguruskan ekonomi dengan baik atau telah meningkatkan hutang secara berlebihan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan komited melaksanakan pembaharuan institusi sekali gus membantu menjana pertumbuhan ekonomi secara berterusan selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

"Ekonomi negara terus menunjukkan daya tahan yang tinggi," katanya.

Menurutnya, Indeks Pengeluaran Perindustrian bagi Ogos lalu telah meningkat 1.9 peratus.

"Peningkatan itu adalah tahun ke tahun iaitu lebih tinggi daripada peningkatan 1.2 peratus pada Julai," katanya.

Beliau berkata, hal sedemikian disumbangkan oleh pengembangan sektor pembuatan yang mampan serta pemulihan output bagi sektor perlombongan.

Tambahnya, kadar inflasi bagi September lalu pula berada pada paras 1.1 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Inflasi yang rendah dan stabil adalah kondusif bagi pengembangan penggunaan swasta," katanya.

Guan Eng berkata, nilai jualan perdagangan borong dan runcit naik 5.8 peratus tahun ke tahun dalam bulan Ogos.

"Ia lebih tinggi daripada kenaikan 5.7 peratus dalam bulan Julai 2019. Kadar pengangguran untuk bulan Ogos 2019 pula adalah rendah dan stabil pada 3.3 peratus," katanya.