Banjir: Dua PPS baharu dibuka di Seberang Perai Tengah

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Hujan lebat petang semalam di beberapa kawasan di Pulau Pinang termasuk di daerah Seberang Perai Tengah mengakibatkan berlaku banjir kilat dan dua pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka di daerah itu malam tadi.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, dua PPS itu ialah Dewan Rukun Tertangga Taman Suria Aman dan Masjid Tasek Junjong yang dibuka bermula jam 9 malam.

"Sehingga pagi ini, 140 mangsa banjir daripada 34 keluarga ditempatkan di lima PPS di Seberang Perai Tengah termasuk dua yang baru dibuka semalam dan jumlah itu meningkat berbanding malam tadi 94 orang di tiga PPS," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, lima orang daripada dua keluarga ditempatkan di Dewan Rukun Tetangga Taman Suria Aman, manakala 38 mangsa banjir daripada enam keluarga di Masjid Tasek Junjong.

"Seramai 46 orang daripada 10 keluarga masih berada di PPS Dewan Orang Ramai Taman Sukun manakala di Dewan Orang Ramai Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tok Suboh, seramai 25 orang daripada sembilan keluarga ditempatkan di situ," katanya.

Boon Poh berkata, sebuah lagi PPS iaitu Tadika Kemas Kampung Manggis pula masih kekal 26 orang daripada tujuh keluarga.

"Lebih 60 kawasan dan jalan dilanda banjir kilat petang semalam berikutan hujan lebat namun hanya dua tempat iaitu di Junjong serta Taman Suria Aman di Berapit air tidak surut sehingga penduduk yang rumah mereka dimasuki air terpaksa dipindahkan ke PPS.

"Kita turut memantau penduduk di kawasan yang terjejas banjir kilat namun tidak dipindahkan ke PPS kerana air tidak naik ke dalam rumah bagi memastikan mereka dalam keadaan selamat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, polis juga membuat rondaan berkala di kawasan rumah penduduk yang dipindahkan ke PPS bagi memastikan tidak berlaku kejadian pecah rumah atau jenayah lain di kediaman mangsa banjir.

Pagi ini cuaca cerah namun Jabatan Mateorologi Malaysia menjangkakan hujan di beberapa kawasan di Pulau Pinang. - Bernama