Turkmenistan hasrat lanjut PSC kepada Petronas sehingga 2038

Dr Mahathir (tiga dari kiri) bercakap pada sidang media selepas Majlis Makan Malam Bersama Rakyat Malaysia di sini sempena lawatan rasmi dua hari di Ashgabat. - Foto Bernama
A
A

ASHGABAT - Kerajaan Turkmenistan berhasrat melanjutkan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) selama 10 tahun lagi kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk beroperasi di negara itu sehingga 2038.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hasrat itu disampaikan Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedov ketika beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin berkenaan semalam.

“Saya ada berbincang dengan Presiden (Turkmenistan) dan beliau mengalu-alukan peranan Petronas di Turkmenistan. Beliau menyatakan hasratnya supaya Petronas terus aktif di sini dan beliau cakap extension (lanjut) (PSC) selama 10 tahun lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia pada malam tadi sebelum mengakhiri lawatan rasmi dua hari beliau ke Turkmenistan pada hari ini.

Pada 1996, Petronas diberikan PSC selama 32 tahun yang berakhir pada 2028 untuk mengeluarkan gas asli di kawasan Blok 1 di Laut Caspian.

Ketika ini Turkmenistan berada di kedudukan keempat teratas di dunia yang mempunyai simpanan gas asli bawah tanah, selepas Russia, Iran dan Qatar.

Simpanan gas asli yang ada sekarang ialah sebanyak 20 trilion meter padu, namun jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana masih banyak kawasan di negara itu yang masih belum diteroka.

Dr Mahathir berkata, pelanjutan PSC itu menunjukkan kerajaan Turkmenistan berpuas hati dengan peranan yang dilakukan Petronas dan beliau yakin negara tersebut akan mempertimbangkan konsesi lain kepada syarikat petroleum nasional itu.

Beliau berkata, di Turkmenistan, Petronas terlibat 100 peratus dalam aktiviti mengeluarkan minyak dan gas di negara berkenaan, berbanding 15 peratus di Azerbaijan.

Sebelum melakukan lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan, Dr Mahathir berada di Azerbaijan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, semasa pertemuannya dengan Berdimuhamedov, Presiden Turkmenistan itu menyuarakan hasratnya supaya diadakan pameran barangan Malaysia di negara tersebut.

Menurutnya, Berdimuhamedov juga berpendapat bahawa banyak bidang yang boleh dikembang dan ditingkatkan antara Malaysia dan Turkmenistan.

“Kita mendapat sambutan amat baik, mereka 'very friendly' dan saya berpendapat kita boleh adakan dagangan dengan mereka walaupun jumlah penduduknya cuma lima juta orang tetapi ada (hasil) pendapatan daripada minyak. Mereka kaya, jadi ada baik bagi kita mengambil bahagian dalam dagangan dengan mereka.

“Mereka juga berhasrat supaya mengadakan shipbuilding (pembinaan kapal) di sini dan kita mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan berkenaan shipbuilding. Kita boleh periksa (lihat) sama ada kita boleh ambil bahagian dalam shipbuilding di sini,” katanya.

Semalam Dr Mahathir dan Berdimuhamedov mengadakan mesyuarat terhad diikuti mesyuarat dua hala dan majlis pemeteraian program kerjasama.

Delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Bernama