Benarkah kedai makan punca masalah sosial di Kelantan?

No Image Caption
A
A
A

MAKANAN yang paling popular di Kelantan setiap kali tiba Ramadan ialah colek. Colek ini macam rojaklah dan ia adalah kombinasi antara cucur, keropok lekor, paru, ayam, ikan dan salad yang dicampur dengan sos istimewa. Ia juga boleh dicampur dengan udang, sotong, bebola ikan atau sosej.

Boleh dikatakan semua kedai yang menjual colek ini pasti akan dipenuhi dengan orang ramai terutama selepas solat tarawih.

Selalunya, kedai-kedai colek ini akan berniaga sehingga dua atau tiga pagi kerana permintaan yang tinggi daripada pelanggan. Inilah masa untuk mereka meraih keuntungan.

Bagaimanapun, Merak Jalanan bimbang kemeriahan makan colek akan hilang apabila kerajaan Negeri Kelantan mengehadkan waktu perniagaan warung dan restoran sehingga jam 12 tengah malam pada tahun depan.

Rasional pendekatan itu diambil kerana polis Kelantan mendedahkan operasi premis makanan antara faktor berlakunya masalah sosial di negeri tersebut.

Bagaimanapun, peraturan itu masih di peringkat dasar dan pihak berkuasa tempatan akan memperhalusi perkara itu dari segi pelaksanaan dengan mengambil kira premis yang beroperasi 24 jam termasuk 7 Eleven, KFC dan pasar borong Wakaf Che Yeh.

Merak Jalanan berpandangan keputusan yang diambil kerajaan Kelantan itu pasti mendapat bantahan daripada peniaga.

Masalah sosial ini bukan berpunca daripada kedai makan atau restoran tetapi berpunca daripada pelbagai faktor.

Artikel Berkaitan:

Jika dahulu kerajaan Negeri Kelantan tutup panggung wayang untuk menyelesaikan masalah sosial tetapi kenapa sampai hari ini ia masih berlaku.

Terkini kedai makan jadi mangsa. Jika benar kerajaan Kelantan mahu atasi masalah tersebut, lebih baik buat peraturan perintah berkurung sahaja.

Ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar mungkin ia bidalan yang sesuai mengenai perkara ini. Merak Jalanan harap dasar tersebut dikaji semula.