Perjuangan Black Panthers

Penang Black Panthers
Penang Black Panthers
A
A
A

PENANG Black Panthers tetap optimis mampu mengungguli saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2019 meskipun berdepan dengan kemelut pengunduran pihak pengurusan dan empat pemain.

Pengurus baharu Penang Black Panthers, Zakaria Din mengakui tiada strategi baharu ditetapkan untuk berhadapan dengan barisan pencabar mereka dalam baki dua minggu STL 2019.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan khidmat pemain baharu bagi menampung kekosongan yang sedia ada.

“Kita berhasrat untuk tampung pemain baharu selepas ini tapi bukan untuk malam ini (malam tadi). Perancangan itu ada tapi belum ada perbincangan lagi.

“Bagaimanapun, kita tidak menggunakan khidmat pemain import sebaliknya hanya pemain tempatan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Stadium Indera Mulia, Ipoh semalam.

Kelmarin, bekas Pengurus Penang Black Panthers, Abd Hafiz Abd Majid mengesahkan beliau serta staf kejurulatihan termasuk empat pemain menarik diri atas alasan tiada persefahaman dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Empat pemain terbabit ialah Amir Syahiran Mohd Fuzi, Muhammad Zaim Razali serta dua tonggak import dari Thailand, Purached Yodsaen dan Aekkasitt Naphom.

Ketiadaan keempat-empat pemain terbabit menyaksikan Penang Black Panthers kini menyandarkan harapan kepada killer kebangsaan, Mohammad Azlan Alias selain tekong, Said Ezwan Said De, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican serta Muhammad Zulhusni Basri (apit kiri).

Artikel Berkaitan:

“Perjuangan kami perlu diteruskan. Saya akan menggunakan input dan baki pemain yang ada dalam meneruskan perjuangan Penang Black Panthers. Selain menghadapi STL, kita nak buat persiapan lebih kepada matlamat menghadapi Sukan SEA 2019.

“Kita mahu pemain tempatan lebih kerap beraksi kerana kedua-dua pemain Penang Black Panthers yang kurang diberi perhatian beraksi (sebelum ini) merupakan pemain pasukan negara pada Sukan SEA nanti,” jelasnya yang juga pengurus skuad sepak takraw negara pada Sukan SEA 2019 di Filipina bulan depan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh menafikan PSM terlibat atau campur tangan dalam urusan Penang Black Panthers sehingga menyebabkan berlaku kemelut dalaman pasukan tersebut.