FAMA sasar Agrobazaar Online capai jualan RM6.7 juta

No Image Caption
A
A
A

PONTIAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan Agrobazaar Online yang dibangunkan sejak 2016 akan mencapai jualan bernilai RM6.7 juta pada tahun hadapan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dr Zunika Mohamed berkata, sasaran itu dibuat selepas platform untuk usahawan memasarkan produk mereka sehingga kini telah mencatatkan jualan RM5.26 juta.

Menurutnya, sejak 2016, sejumlah 13,832 produk telah dipasarkan menerusi aplikasi mudah alih tersebut dengan penyertaan 5,208 kedai.

“Sehingga 25 Oktober, Agrobazaar Online telah mengumpul nilai jualan sebanyak RM5.26 juta dan tahun hadapan kita sasarkan penambahan RM1.5 juta, sekali gus menjadikan jualan keseluruhan lebih kurang RM6.7 juta,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Kursus Asas Industri Asas Tani dan Sesi Teh Tarik Agropreneur Muda di Kukup Golf Resort di sini hari ini.

Zunika berkata, dalam masa sama, pihaknya turut menyasarkan pertambahan 1,000 kedai lagi akan menyertai jualan melalui platform dalam talian itu yang membantu memasarkan dan menjual produk berasaskan industri asas tani seperti tanaman, ternakan, perikanan serta agropelancongan.

Katanya, platform dalam talian berkenaan mendapat sambutan yang baik daripada usahawan seluruh negara terutama usahawan muda.

“Untuk rekod, usahawan muda lebih ramai libatkan diri kerana mereka lebih ‘IT savvy’ tapi dalam masa sama, kita memang ada program promosi (Agrobazaar Online) seluruh negara.

"Selain itu, FAMA juga akan bantu petani dari segi penghantaran serta penyediaan pusat pengumpulan produk khusus untuk memastikan produk cepat sampai kepada pembeli,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Zunika berkata, sehingga kini seramai 281 usahawan muda di Johor telah menerima kelulusan geran Agropreneur Muda bagi sektor tanaman, perikanan, ternakan dan industri asas tani berjumlah RM5.1 juta bagi tempoh 1 Januari sehingga 30 April tahun ini.

Terdahulu, seramai 81 peserta Agropreneur Muda di negeri ini menyertai kursus asas industri asas tani yang memberi pendedahan mengenai kepentingan pembungkusan, pelabelan, penjenamaan dan pasaran produk.

Selain itu, peserta juga diberi taklimat ke arah ekonomi digital masa hadapan dan pendedahan teknologi pemprosesan. - Bernama