Maut dilanggar ketika melintas jalan

Suasana di lokasi kejadian dipenuhi orang ramai di sekitar kawasan berhampiran. - Foto Ihsan pembaca (Gambar kecil: Abd Razak Hasan)
Suasana di lokasi kejadian dipenuhi orang ramai di sekitar kawasan berhampiran. - Foto Ihsan pembaca (Gambar kecil: Abd Razak Hasan)
A
A
A

BESUT - Isteri kepada Ketua MCA Bahagian Besut, Lee Chan Fook maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Kampung Padang Luas di sini malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, mangsa, Lua Siew Khim, 51, dari Jalan Bukit Mok Mek, Jerteh di sini yang parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta Perodua Axia tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu kereta yang merupakan seorang peniaga dalam perjalanan dari arah Pasir Puteh menuju ke Jerteh.

"Setibanya di lokasi, mangsa seorang suri rumah tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan sebelum dilanggar. Pemandu cuba mengelak tetapi tidak berjaya memandangkan jarak terlalu dekat.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini.

Abd Razak berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kecuaian memandu yang menyebabkan kematian.

Artikel Berkaitan: