X

Kindly register in order to view this article
!

Sarawak tak bantu program kerajaan Persekutuan

Chong Chieng Jen
A
A

MIRI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kesal dengan sikap kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tidak memberi kerjasama terhadap program yang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan.

Timbalan menterinya, Chong Chieng Jen mendakwa, terdapat unsur sabotaj terhadap inisiatif kerajaan Persekutuan seperti ketika pelancaran kempen 'Beli Barangan Malaysia' di Kuching baru-baru ini.

“Kami cuba menyewa tandas bergerak daripada Majlis Perbandaran Padawan kerana acara itu berlangsung dalam kawasan majlis perbandaran itu tetapi jawapannya tidak ada yang boleh disewa,” katanya pada Konvensyen Tahunan Ke-19 DAP Sarawak di sini.

Konvensyen itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Chieng Jen berkata, pihak kementerian kemudian cuba mendapatkan bantuan Majlis Bandaraya Kuching Selatan dan Dewan Bandaraya Kuching Utara, namun jawapannya tetap sama.

“Itu acara anjuran kerajaan Persekutuan dan bukannya DAP, namun ketiga-tiga pihak berkuasa tempatan menolak permintaan kami untuk menyewa tandas bergerak,” katanya dan menambah tindakan itu membuktikan bahawa kerajaan negeri seolah-olah mahu mensabotaj program tersebut.

Selain itu, Chieng Jen yang juga Pengerusi DAP Sarawak mendakwa terdapat usaha pemimpin GPS mensabotaj cadangan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) oleh kerajaan Persekutuan bagi memudah penyaluran dana kerajaan Pusat kepada rakyat Sarawak.

“Bukan sahaja cuba menyekat inisiatif itu, malahan pemimpin mereka kini menyebarkan berita palsu bagi memburuk-burukkan program MPKK,” katanya.

Justeru, menjelang Pilihan Raya Negeri, beliau berharap anggota DAP Sarawak tetap bersatu dan fokus dalam melaksanakan agenda parti dan terus membantu Kerajaan Persekutuan melaksanakan projek serta program yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus