Safawi bangga bantu JDT ke final Piala Malaysia

Safawi Rasid -Foto JDT
Safawi Rasid -Foto JDT
A
A
A

"INI rezeki saya" demikian reaksi pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid apabila hatrik jaringannya berjaya membawa skuad Haimau Selatan mara ke pentas final Piala Malaysia selepas menundukkan Selangor 3-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Menurutnya, kejayaan itu tidak akan hadir tanpa bantuan daripada rakan-rakan sepasukan yang turut bekerja keras membantu kejayaan pasukan dan turut berterima kasih kepada mereka.

”Sebelum ini (aksi separuh akhir pertama) saya agak kepenatan kerana selepas pulang daripada skuad kebangsaan saya terus berlatih. Bagaimanapun sebagai pemain bola sepak profesioanl perkara ini tiada masalah bagi saya. Mungkin hari ini (malam tadi) saya bermain ‘ok’, esok tak ‘ok’, jadi itu adalah rezeki.

”Saya tak kisah siapa yang menjaringkan gol, mungkin hari ini rezeki saya dan lepas ini mungkin rezeki orang lain. Bagi saya ini adalah kerja keras daripada kawan-kawan saya.” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.

Pada perlawanan itu, JDT terlebih dahulu membuka jaringan menerusi rembatan kemas Safawi pada minit ke-24 sebelum menggandakan kedudukan pada minit ke-46 dan melengkapkan hatrik jaringan minit ke-51 sekaligus melengkapkan kejayaan 5-1 secara agregat buat skuad Harimau Selatan.

Sementara itu, Pengurus JDT, Luciano Figueroa berkata pemain Selangor bermain dengan baik dan memberikan saingan sengit kepada pasukannya.

"Kita memang mengharapkan permainan seperti ini kerana ia akan membuat perlawanan lebih menarik, ketika separuh akhir pertama Selangor memberi tentangan sengit walaupun kita menang tipis."

"Apa yang penting saya memberitahu kepada pemain adalah untuk memberikan aksi terbaik dan mendapatkan gol pertama, mereka berjaya melakukannya dengan cemerlang," katanya.

Artikel Berkaitan: