Disiplin pemain bawa Kedah ke final

Pemain Kedah, Zaquan Adha Abd Radzak menyekat kemaraan Mohamadou Sumareh pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, malam tadi. - Foto Pahang FA
Pemain Kedah, Zaquan Adha Abd Radzak menyekat kemaraan Mohamadou Sumareh pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, malam tadi. - Foto Pahang FA
A
A
A

PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak memuji semangat juang dan disiplin tinggi yang ditonjolkan anak buahnya untuk membawa skuad Lang Merah ke pentas final Piala Malaysia musim ini.

Kedah berjaya mengesahkan slot ke final selepas memiliki kelebihan gol di tempat lawan selepas mengikat kedudukan 5-5 ketika bertemu Pahang pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Menurutnya, kejayaan itu menjadi sejarah bola sepak dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia apabila perlawanan berakhir dengan agregat 8-8 sekali gus membuktikan para pemainnya tidak pernah mengenal erti putus atas untuk memburu kejayaan.

"Apa yang paling penting para pemain saya telah memberikan aksi terbaik mereka walaupun Pahang memiliki penyerang (Dickson Nwakaeme) yang berkualiti tetapi pemain kita mampu mengimbanginya.

"Paling penting pemain telah memberikan komitmen 100 peratus sepanjang tempoh 120 minit perlawanan yang mencabar dan berakhir dengan keputusan membanggakan," katanya.

Mengulas lanjut, Aidil Sharin mengakui kejayaan itu sedikit sebanyak menyuntik motivasi pemainnya untuk bertemu Johor Darul Ta'zim pada aksi final nanti sambil menyifatkan pertemuan itu nanti bukan sesuatu yang mudah buat mereka untuk menewaskan juara tujuh kali Liga Super itu.

"Begitupun kita akan turun dengan mentaliti yang sama sebagaimana pertemuan ini, kita lebih selesa turun dengan 'underdog' dan hormati pihak lawan tetapi sebaik wisel perlawanan bermula kita akan berikan prestasi terbaik.

"Kita tidak boleh menjangkakan keputusannya tetapi para pemain akan memberikan komitmen 100 peratus mereka pada perlawanan itu nanti," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan rezeki Pahang: Dollah