X

Kindly register in order to view this article
!

Belanjawan 2020: Selangor bakal umum beberapa inisiatif baharu

an
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bakal mengumumkan beberapa usaha baharu yang dapat membawa kebaikan kepada rakyat termasuk masyarakat India dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2020 Jumaat ini.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, dari awal pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) sebelum bertukar kerajaan Pakatan Harapan (PH), penduduk negeri ini termasuk kaum India telah menikmati pelbagai manfaat dan inisiatif.

Menurutnya, ia termasuk yang memartabatkan aspek pendidikan, keusahawanan, kesihatan dan taraf sosial rakyat negeri Selangor.

"Dasar kerajaan PH yang bersifat jangka panjang ini bertujuan menjaga kemaslahatan rakyat dan kemampanan fiskal ekonomi negeri dan negara. Perubahan ini hanya dapat disaksikan kejayaannya setelah beberapa tempoh masa berlalu.

"Matlamat pentadbiran ini untuk menaikkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah dan tinggi termasuk golongan miskin desa serta miskin kota supaya dapat diberi pengupayaan yang sewajarnya," katanya menerusi perutusan sempena sambutan Hari Deepavali hari ini.

Beliau sebelum itu berkata, pengorbanan dan keberanian masyarakat India pada 2007 memberikan nafas baharu pada perjuangan rakyat.

Menurutnya, usaha-usaha bersama semua bangsa selama 11 tahun kebelakangan ini membuka lembaran baharu dalam politik Malaysia.

"Sejarah ini wajar kita hargai agar matlamat asal perjuangan seluruh warga Malaysia, yakni kepentingan rakyat akan sentiasa diutamakan dalam apa jua keadaan.

"Apabila kebajikan rakyat terbela, akan hadirlah keamanan dan perpaduan yang kemudiannya akan membawa pula kepada kemakmuran buat semua. Inilah yang kita dapat amati dan nikmati di Selangor sejak tahun 2008," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus