Sakit dan dakwah

A
A
A

SEMUA orang, tidak kira berapa umurnya, pasti pernah jatuh sakit. Setiap daripada kita pasti pernah merasai sakit. Doktor pun pernah merasai sakit, tiada yang terkecuali. Yang membezakan hanyalah kecil atau besar ujian sakit itu.

Ketika sihat dan senang, kita cenderung berasa tenang dan riang tetapi apabila ditimpa kesakitan, sebahagian besar daripada kita akan sedih dan murung. Ada yang sakit untuk jangka masa yang pendek dan ada juga yang diuji dengan kesakitan yang berpanjangan. Sebagai umat Islam, kita amat digalakkan untuk menziarahi orang sakit kerana ia amat dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagaimana hadis-hadis berikut:

Daripada Abu Musa al-Asy'ari r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Berilah makan kepada orang yang lapar, jenguklah orang yang sakit, dan bebaskan tawanan." Riwayat Al-Bukhari (5373)

Daripada Thauban r.a., Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang menziarahi orang sakit, dia berada dalam kebun syurga sehinggalah dia pulang." Riwayat Muslim (6717)

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang menziarahi orang sakit, maka ada penyeru yang menyeru dari langit: Kamu adalah orang baik, dan langkahmu juga baik dan engkau berhak mendapat satu tempat di syurga." Riwayat Ibn Majah (1443) dan al-Tirmizi (2008)

Berdasarkan nas-nas di atas, menziarahi orang sakit sangat digalakkan dalam Islam, tidak kira sama ada yang sakit itu Islam atau tidak. Hadis daripada Anas r.a. yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (1356) menyatakan, Nabi SAW telah menziarahi seorang kanak-kanak Yahudi yang sakit.

Aktiviti ziarah pesakit tanpa mengira bangsa, warna kulit atau agama merupakan amalan yang berteraskan kemanusiaan, sebagaimana konsep rahmatan lil `alamin yang merupakan pendekatan kerajaan Malaysia sekarang ini. Amalan ziarah ini juga boleh menjadi sebab hati mereka yang belum Islam terbuka untuk menerima Islam sebagaimana peristiwa Rasulullah dan kanak-kanak Yahudi yang sakit yang akhirnya memeluk Islam.

Sakit juga merupakan satu dakwah untuk pesakit, dan juga bagi mereka yang menziarahi pesakit. Sakit menjadi dakwah untuk diri pesakit apabila ia lebih mengingati ALLAH ketika sakit, mungkin dengan zikir dan doa yang tidak putus-putus, malah keluhannya juga mungkin banyak terkandung kalimah ALLAH dalam keadaan sebegitu.

Artikel Berkaitan:

Dalam keadaan uzur, kita terpaksa banyak berehat, maka aktiviti duniawi kurang, pergerakan juga terhad. Tangan mungkin dicucuk dengan jarum untuk dimasukkan air dan ubat. Hendak ambil wuduk pun sedikit sukar walaupun memang ada kaedah-kaedah khusus untuk beribadat bagi mereka yang sedang sakit. Pendek kata, ketika sakit, dunia akan menjadi lebih “sempit”; kesempitan yang sebenarnya memberi lebih ruang kepada untuk membuat refleksi diri dan peluang untuk berdua-duaan dengan Yang Maha Esa.

Dalam hal ini, saya kagum dengan kesungguhan Ustaz Muhamad Adli Abdul Rozak, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam USM yang saban hari mengunjungi pesakit-pesakit di Hospital USM bagi mengingatkan serta membantu mereka menjalankan ibadah solat. Ada yang tidak solat ketika sakit kerana bagi mereka agak sukar dengan jarum dan wayar di seluruh badan sedangkan ketika sakitlah kita harus menjaga solat agar doa kita diterima ALLAH SWT.

Menurut Ustaz Adli lagi, sakit juga boleh menjadi jalan dakwah kepada mereka yang menziarahi orang sakit kerana mereka mungkin akan sedar bahawa bukan selamanya mereka akan kekal sihat. Ketika itulah timbul kesedaran untuk menjaga kesihatan agar mudah untuk mengerjakan ibadah dan amal jariah. Perlu ingat masa sihat sebelum sakit sebagaimana hadis Nabi SAW, “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara”.

Bagi mereka yang diuji dengan kesakitan, atau menjaga ahli keluarga yang sakit, semoga kekal sabar dan ikhlas menghadapinya. Sesungguhnya, seluruh kehidupan ini adalah ujian yang boleh menjadi ladang amal untuk kita meraih pahala yang besar sebagai bekalan di akhirat kelak.

* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan