Mempertahan hak orang Melayu

A
A
A

SUDAH tiga minggu Kongres Maruah Melayu berlangsung tetapi sehingga ke hari ini ia masih diperkatakan pelbagai pihak. Ada yang menyokong dan ada pula yang menentang. Tidak kurang pula yang mengambil tindakan drastik membuat laporan polis mendakwa kongres tersebut bersifat rasis menyebabkan beberapa individu yang terlibat disiasat pihak polis.

Terdapat juga pelajar yang memprotes semasa konvokesyennya atas apa yang didakwanya sebagai hak asasi. Akibatnya pihak universiti pula membuat laporan polis kerana mengganggu istiadat setahun sekali itu.

Hakikat bahawa intipati kongres tersebut masih diperkatakan walaupun selepas tiga minggu berlalu menzahirkan peri pentingnya kongres itu sendiri dan impaknya kepada masyarakat umum. Ia adalah bukti kejayaan kongres tersebut menganjak minda orang Melayu supaya lebih kukuh dan berusaha membangunkan bangsa Melayu.

Kongres ini sebenarnya hanya bercakap mengenai bangsa Melayu, tidak terbit di bibir pembahas atau peserta memperlekeh bangsa lain ataupun menggalakkan kebencian.

Jika ditelusuri resolusi yang dibentang, kita akan menemukan fakta-fakta kegagalan orang Melayu dan bagaimana mahu memperbaikinya. Malah hak dan kepentingan sah kaum lain dipertahan sejajar dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Saya musykil kepada mereka yang mempertikaikan kongres ini atas dakwaan rasis kerana jika diamati ucapan-ucapan semasa kongres saya tidak nampak di mana rasisnya ucapan-ucapan tersebut selain mahukan hak dan kepentingan orang Melayu dipertahan sebagaimana diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jika itu pun dikatakan rasis maka Perlembagaan Persekutuan itu juga hendaklah dikategorikan sebagai rasis juga.

Ada dalam kalangan orang Melayu sendiri mahu kita berhenti bercakap tentang orang Melayu kerana mahukan Bangsa Malaysia dipupuk. Istilah bangsa Malaysia ini bagi saya sangat mengelirukan bagaimana tiba-tiba Malaysia menjadi suatu bangsa sedangkan memang diketahui umum terdapat pelbagai bangsa, suku dan ras di dalam Malaysia. Hargailah perbezaan itu agar ia menjadi kekuatan kita bukan kelemahan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimana mahu kita berhenti bercakap tentang orang Melayu sedangkan Perlembagaan sendiri memberi takrifan Melayu. Bagaimana kita hendak berhenti bercakap tentang hak Melayu, sedangkan Perlembagaan sendiri mengesahkan hak orang Melayu dan bumiputera.

Bagaimana kita hendak berhenti bercakap tentang agama orang Melayu, sedangkan Perlembagaan sendiri memberi banyak keistimewaan kepada agama Islam.

Bagaimana kita mahu berhenti bercakap tentang Raja-Raja Melayu sedangkan Perlembagaan bertunjangkan Raja-Raja Melayu.

Bagaimana kita mahu hapuskan bangsa Melayu sedangkan bangsa Melayu itu sudah dinyatakan di dalam Perlembagaan.

Jadi bagaimana mahu berhenti dan menuruti desakan tersebut? Namun orang Melayu juga diingatkan apabila memperjuang hak bangsa yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan, kepentingan sah kaum lain juga adalah terpelihara.

Tiada siapapun dibenarkan membangkitkan perasaan membenci dalam kalangan rakyat jelata, menghasut untuk membuat sesuatu melanggar undang-undang ataupun menindas bangsa lain. Keunikan rakyat Malaysia sebenarnya sudah lama menjadi teladan oleh negara-negara luar. Namun kini satu persatu persefahaman ini dirungkai dengan menanam bibit-bibit kemarahan antara satu sama lain. Inilah kekhuatiran yang mungkin akan berlaku yang perlu dielakkan.

Sebagai seorang Melayu saya mengakui orang Melayu hari ini tidaklah sama dengan orang Melayu ketika saya kecil dahulu. Kalau dahulu saya boleh bebas pergi ke rumah kawan-kawan berbangsa lain, belajar bersama-sama pelajar bangsa lain dan mempunyai teman rapat di kalangan bangsa lain, sekarang suasana sebegitu sukar ditemui lagi.

Memang benar di kalangan orang Melayu terdapat perasaan resah dan gelisah. Ia sebenarnya natijah dari beberapa insiden yang disifatkan orang Melayu sebagai mencabar kedudukan orang Melayu, agama orang Melayu dan Raja-Raja Melayu. Perkara-perkara tersebut sangat sensitif kepada orang Melayu yang mana mungkin orang bukan Melayu tidak merasainya.

Marilah kita kembali bersama menghargai antara satu sama lain. Tidak mengusik sensitiviti masyarakat dan menghormati susun atur yang telah digarap oleh Perlembagaan Persekutuan. Hak orang Melayu yang ada perlu dipertahan dan dipelihara di samping menjamin hak dan kepentingan sah kaum lain yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Itulah sebenarnya matlamat Kongres Maruah Melayu. Mempertahankan hak dan maruah orang Melayu yang dibenarkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tidak lebih dari itu!

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)