Bantuan Awal Persekolahan mula disalur esok

Maszlee Malik
Maszlee Malik
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2019 sebanyak RM100 seorang, yang akan memberikan manfaat kepada lebih 3 juta pelajar, bermula esok.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, KPM memperuntukkan sejumlah RM312 juta melibatkan 3,121,774 pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5, di 10,175 buah sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

Katanya, pihaknya akan memberi tanggungjawab kepada pihak sekolah untuk mengagihkan segera bantuan itu pada bulan ini bagi meringankan bebanan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan.

"KPM juga telah mengambil segala tindakan bagi memastikan semua pelajar yang layak menerima BAP pada tahun ini.

"Dalam hal ini, kerjasama ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru diharapkan bagi membolehkan pengagihan ini berjalan lancar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Maszlee berkata, sebanyak RM16 juta lagi diperuntukkan untuk sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri yanh diuruskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta sekolah swasta persendirian yang berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Swasta KPM.

"KPM akan akan menyalurkan peruntukan tersebut terus ke akaun sekolah-sekolah berkenaan setelah mendapat pengesahan bilangan murid yang layak daripada Jakim dan Bahagian Pendidikan Swasta KPM.

"Tindakan susulan sedang diambil dengan kerjasama Jakim dan Bahagian Pendidikan Swasta KPM untuk menyalurkan peruntukan tersebut segera. Ia dijangka akan disalurkan juga pada bulan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Maszlee berkata, BAP 2019 diberikan kepada murid dalam kalangan isi rumah berpendapatan bulanan kasar RM3,000 dan ke bawah.

"Bantuan itu diagihkan dalam bentuk tunai RM100 sepenuhnya dan sebarang pemotongan serta agihan selain tunai adalah tidak dibenarkan sama sekali," katanya.