Banjir Pulau Pinang: 131 mangsa masih ditempatkan di tiga PPS

Keadaan banjir di Bukit Minyak sejak semalam menyebabkan PPS Dewan Orang Ramai Taman Sukun dibuka.
Keadaan banjir di Bukit Minyak sejak semalam menyebabkan PPS Dewan Orang Ramai Taman Sukun dibuka.
A
A
A

GEORGETOWN - Mangsa banjir di Pulau Pinang bertambah kepada 131 orang selepas sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka petang semalam.

PPS Dewan Orang Ramai Taman Sukun, Bukit Minyak di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) itu dibuka pada jam 4 petang menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang dibuka setakat ini adalah tiga buah.

PPS terbaru yang dibuka itu menempatkan 11 keluarga melibatkan 50 mangsa iaitu 22 dewasa, 25 kanak-kanak, dua bayi dan seorang orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, Tadika Kemas Kampung Manggis, Permatang Tinggi yang dibuka pada 22 Oktober lalu masih menempatkan 26 mangsa melibatkan tujuh keluarga.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, PPS Dewan Orang Ramai Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tok Suboh yang ditutup pada 24 Oktober lalu dibuka semula keesokan harinya dengan jumlah terkini seramai 55 mangsa daripada 17 keluarga.

"PPS Dewan Orang Ramai Bukit Teh yang dibuka pada jam 9.30 malam, 25 Oktober lalu ditutup selepas sehari ia dibuka berikutan keadaan air di kawasan terlibat telah surut. Semua 15 mangsa daripada lima keluarga dibenarkan pulang.

"Jumlah terkini di ketiga-tiga PPS yang masih dibuka adalah 35 keluarga melibatkan 131 mangsa. Kita akan kemas kini jumlah mangsa dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Artikel Berkaitan: