Tak sempat bawa balik ke Indonesia

Bot kayu dari negara jiran yang dikesan memasuki perairan negara.
Bot kayu dari negara jiran yang dikesan memasuki perairan negara.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot kayu nelayan asing yang menangkap hasil laut di negara ini dengan menggunakan pukat hanyut Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohamad Rosli Kassim berkata, Kapal Maritim Bagan Datuk yang ditugaskan untuk membuat rondaan rutin berjaya mengesan bot kayu terbabit kira-kira jam 5.48 petang pada jarak kira-kira 33.04 batu nautika Kuala Selangor.

“Bot dari Indonesia itu dikesan ketika bergerak dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Hasil laut negara yang dicuri oleh nelayan asing.
Hasil laut negara yang dicuri oleh nelayan asing.

Mohamad Rosli berkata, bot tersebut berjaya ditahan ketika mereka cuba memasuki perairan Indonesia.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot mendapati, 13 awak-awak termasuk dua tekong kesemua warga Indonesia tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kita turut menjumpai ikan campur dianggarkan seberat 100 kilogram yang dipercayai ditangkap dari laut Malaysia," katanya.

Menurutnya, kesemua mereka berusia lingkungan 31 hingga 56 tahun ditahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan: