Selangor tidak beraksi pada tahap sebenar: Sathianathan

Pemain Selangor, Michal Nguyen (kiri) diasak pemain JDT, Muhammad Safawi Rasid (dua dari kiri) dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2019 di Stadium Shah Alam malam tadi. - Foto Bernama
Pemain Selangor, Michal Nguyen (kiri) diasak pemain JDT, Muhammad Safawi Rasid (dua dari kiri) dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2019 di Stadium Shah Alam malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

KETUA Jurulatih Selangor, B Sathianathan mengakui anak buahnya gagal beraksi seperti yang diharapkan sehingga mengakibatkan mereka tewas 0-3 dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan sekali gus gagal melangkah ke perlawanan akhir.

Ketua jurulatih skuad The Red Giants itu berkata, pasukan pelawat dilihat lebih mendominasi perlawanan dan beraksi dengan baik.

"JDT sememangnya layak ke pentas akhir kerana jika dilihat pada separuh masa pertama, reaksi perlahan daripada pemain kita berbanding dengan pemain JDT yang mudah menembusi benteng pertahanan Selangor.

"Separuh masa kedua kita sebenarnya banyak peluang selepas kita ketinggalan 2-0 namun kita gagal mengambil peluang itu, kita terlalu memberi ruang dan masa kepada pemain lawan," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan malam tadi.

Sathianathan berkata, beliau berterima kasih kepada penyokong yang hadir ke stadium bagi memberi sokongan padu.

Sementara itu, Pengurus JDT, Luciano Figueroa berkata, pemain Selangor bermain dengan baik dan memberikan saingan sengit kepada pasukannya.

"Kita memang mengharapkan permainan seperti ini kerana ia akan membuat perlawanan lebih menarik. Ketika separuh akhir pertama Selangor memberi tentangan sengit walaupun kita menang tipis.

"Apa yang penting saya memberitahu kepada pemain adalah untuk memberikan aksi terbaik dan mendapatkan gol pertama, mereka berjaya melakukannya dengan cemerlang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perlawanan itu, JDT menewaskan Selangor 3-0 sekali gus mencatat kemenangan agregat 5-1 pada aksi di Stadium Shah Alam. - Bernama