Komik kontroversi: Rosak pemikiran generasi baharu

Muhammad Faiz
A
A

KUANTAN - Pemikiran generasi baharu boleh rosak kerana kandungan komik Inisiatif Jalur Jalan Meraih Manfaat Bersama dilihat berorentasi ideologi sosialis dan komunis.

Exco Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim berkata, komik berkenaan memberi kesan kepada pemikiran generasi kini dalam usaha membentuk Malaysia yang berdaulat dan harmoni.

"Tidak mustahil ada usaha lain untuk menyebarkan komik tersebut sehingga mereka mencapai matlamat utama yang ingin dicapai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kementerian Dalam Negeri sudah mewartakan perintah larangan terhadap komik kontroversi itu Rabu lalu dan kelmarin Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan tiada pihak yang meminta rayuan berkaitan perkara itu.

Beliau turut menyarankan ibu bapa ibu bapa dan pendidik memantau aktiviti di sekolah.

"Kita tidak mahu pihak tertentu terus meracuni pemikiran generasi baharu secara meluas bagi membolehkan pihak berkenaan mendapat manfaat bagi menguasai keseluruhan pentadbiran negara ini yang meliputi kuasa eksekutif," katanya.