Pemandu wanita China rempuh staf MBPP direman

Mangsa yang dirempuh maut di tempat kejadian.
Mangsa yang dirempuh maut di tempat kejadian.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang wanita warga China yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh penunggang motosikal hingga menyebabkan pembantu kesihatan awam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) maut semalam, direman selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, pihaknya mendapat perintah reman daripada mahkamah terhadap wanita berusia 24 tahun itu bagi membantu siasatan lanjut kemalangan tersebut.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk melengkapkan kertas siasatan kes kemalangan itu untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya. Kalau semua selesai, kemungkinan wanita itu didakwa di mahkamah Selasa ini," katanya di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kakitangan MBPP maut dirempuh kereta

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau berkata, polis turut menahan pemilik kereta itu, namun lelaki itu telah dibebaskan dan polis mengeluarkan saman mengikut Seksyen 26 APJ 1987.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi semalam, Mohaidin Gani Mohamad, 58, maut selepas motosikal ditunggang dirempuh Honda Accord dipandu wanita itu berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan kenderaan dipandu wanita itu tidak berhenti sebaliknya merempuh dua motosikal dan sebuah kereta yang sedang berhenti di lorong tengah.

Artikel Berkaitan:

Siasatan awal mendapati pemandu wanita berkenaan mabuk, namun polis masih menunggu ujian sampel darah bagi mengetahui kandungan alkohol dan dadah yang dijangka diperoleh dalam tempoh terdekat. - Bernama