Kerajaan segera naik taraf tiga sekolah daif

Baru Bian
Baru Bian
A
A
A

BETONG - Tiga sekolah rendah kebangsaan yang dikategori daif di bahagian Betong akan dinaik taraf dengan segera.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, tiga sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tambak, SK Tui dan SK Suri yang akan dinaik taraf menerusi ​​​​peruntukan Belanjawan 2020.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menyatakan bila kerja menaik taraf sekolah akan dimulakan serta jumlah kos keseluruhan.

"Saya tidak dapat memberitahu anda tarikh sebenar tetapi apa yang pasti projek khas ini akan dilaksana dengan kadar segera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jaya Desa Debak di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua Debak di sini hari ini.

Sebanyak 17 agensi kerajaan Persekutuan mengambil bahagian dalam pameran sempena program tersebut.

Turut diadakan ialah program diskusi bersama wakil dari Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Ditanya sama ada kerja naik taraf semua sekolah itu akan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS), Baru berkata, ia bergantung kepada keadaan serta lokasi.

Beliau berkata, kajian kementerian mendapati IBS merupakan kaedah terbaik yang boleh mengurangkan kos pembinaan dan menaik taraf bagi sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu dalam ucapannya, Baru berkata, apabila ketiga-tiga sekolah tersebut sudah dinaik taraf, ia akan dapat menyediakan kemudahan lebih sempurna, selesa serta mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran lebih kondusif serta selamat untuk murid.

"Kerajaan Persekutuan juga komited untuk memastikan kualiti kehidupan yang baik kepada penduduk Sarawak dengan menaik taraf sekolah daif dan beberapa hospital,” jelasnya.

Beliau berharap, penduduk Sarawak melihat pendidikan sebagai asas dalam memperbaiki kehidupan dan meningkatkan kemahiran serta kepakaran seperti disaran di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama.

Turut hadir pada program itu, Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju merangkap Penyelaras Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) Sarawak. - Bernama