FAMA sasar pengeluaran 400,000 tan metrik tanaman

Zainal Abidin (dua dari kiri) memetik buah betik ketika meninjau Ladang Betik sempena lawatan beliau ke Kuala Kangsar di Kampung Talang Hilir hari ini. - Foto Bernama
Zainal Abidin (dua dari kiri) memetik buah betik ketika meninjau Ladang Betik sempena lawatan beliau ke Kuala Kangsar di Kampung Talang Hilir hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan Program Ladang Kontrak mampu mengeluarkan sebanyak 400,000 tan metrik tanaman dengan anggaran nilai RM800 juta pada tahun ini.

Ketua pengarahnya, Zainal Abidin Yang Razalli berkata, sehingga September tahun ini, sejumlah 226,677 tan metrik pengeluaran tanaman berjaya dihasilkan melibatkan nilai pengeluaran sebanyak RM438 juta daripada 5,191 peserta ladang kontrak.

Menurutnya, pelbagai usaha dibuat bagi meningkatkan pengeluaran dan pembekalan, seterusnya menjadi sumber pembekalan utama kepada semua outlet peruncitan FAMA antaranya program Jualan Terus Dari Ladang, Bazar Peduli Rakyat, My Best Buy, Agrobazar Kedai Rakyat dan pasar tani di seluruh negara.

"Kaedah penjualan menerusi program-program yang dilaksanakan FAMA membolehkan peserta ladang kontrak menjual terus kepada pengguna bagi membolehkan mereka mendapat harga yang lebih baik dan boleh menawarkan harga lebih rendah kepada pengguna sekitar lima hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.

"Secara tidak langsung, peserta ladang kontrak dapat meningkatkan pendapatan mereka serta membantu kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak melibatkan empat peserta ladang kontrak daerah Kuala Kangsar di Kampung Talang Hilir di sini hari ini.

Zainal Abidin (kanan) beramah mesra bersama peniaga sayuran ketika lawatan kerja beliau ke Kuala Kangsar di Pasar Tani Kuala Kangsar hari ini. - Foto Bernama
Zainal Abidin (kanan) beramah mesra bersama peniaga sayuran ketika lawatan kerja beliau ke Kuala Kangsar di Pasar Tani Kuala Kangsar hari ini. - Foto Bernama

Terdahulu pada sebelah paginya, Zainal Abidin bersama-sama Pengarah FAMA negeri, Anuar Mohamed mengadakan lawatan ke Pasar Tani Kuala Kangsar yang terletak di Jalan Temenggong di sini yang merupakan antara pasar tani paling lama beroperasi iaitu sejak 32 tahun lalu.

Zainal Abidin berkata, sebanyak 764 buah pasar tani melibatkan 31,357 peserta beroperasi di seluruh negara dengan nilai jualan RM655 juta bagi sembilan bulan pertama tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, FAMA turut menyasarkan untuk menambah 25 lagi pasar tani di seluruh negara tahun ini dan sehingga September lalu, sejumlah 18 pasar tani baharu telah mula beroperasi.

Menurutnya, sebanyak 41 buah pasar tani beroperasi di Perak membabitkan nilai jualan sebanyak RM25.5 juta sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini. - Bernama