Buka kedutaan Palestin di Jordan: MP Sik ucap terima kasih

Ahmad Tarmizi
Ahmad Tarmizi
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas langkah membuka pejabat kedutaan khas untuk Palestin di Jordan.

Ahmad Tarmizi berkata, pada sesi sidang Dewan Rakyat pada Mac lalu, beliau pernah mengemukakan soalan berkaitan perkara itu dan telah dijawab secara lisan oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

"Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri atas perhatian yang diberikan. Saya percaya ini akan membawa impak yang besar dalam soal kebajikan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin," kata wakil rakyat Pas itu.

Ahmad Tarmizi yang juga Yang Dipertua Yayasan Isra' Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak aktif dalam misi-misi kemanusiaan di dalam dan luar negara berkata, selama ini usaha membantu rakyat Palestin yang dijalankan oleh pelbagai pihak dari negara ini sering dihalang oleh rejim Zionis tanpa sebab yang munasabah.

"Dengan adanya pejabat kedutaan khas ini, saya yakin ia akan banyak membantu kelancaran misi kemanusiaan kita yang amat diperlukan oleh warga Palestin," ujarnya.

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan semalam menyatakan kerajaan akan membuka kedutaan khas untuk Palestin di Jordan.

Menurut Perdana Menteri, kedutaan itu akan menjalankan fungsi menyalurkan bantuan Malaysia kepada penduduk Palestin yang ditindas oleh rejim Israel.

ARTIKEL BERKAITAN: Buka kedutaan Palestin di Jordan: Hasrat Malaysia tepat pada masanya

Artikel Berkaitan: