Isi kandungan Kongres Maruah Melayu cetuskan masalah

Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menegaskan Kongres Maruah Melayu tidak mendatangkan masalah, sebaliknya isi kandungan perhimpunan itu yang menjadi isu.

Kenyataan Khalid itu sekali gus menyanggah pendapat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempertahankan perhimpunan tersebut.

Menurutnya, perbincangan dalam sesuatu perhimpunan yang boleh membawa kepada persengketaan kaum merupakan satu masalah.

"Perhimpunan itu bukan masalah tetapi isi kandungannya. Semua kaum, malah suku berhimpun untuk membincangkan masalah mereka dan bagaimana mahu menambah baik kedudukan mereka dan negara tetapi apabila ia mencetuskan kebencian kaum dan persengketaan, ia jadi perkauman,” katanya melalui kenyataan di Twitter miliknya hari ini.

Dalam pada itu Khalid berkata, mesej Dr Mahathir semasa Kongres Maruah Melayu bukan mesej kebencian terhadap kaum dan bangsa lain tetapi teguran terhadap bangsa sendiri yang mesti berubah.

"Sefaham saya mesej Dr Mahathir semasa Kongres Maruah Melayu adalah Melayu mesti rajin, kuat bekerja, usaha dengan gigih, jangan menunggu makanan disuap seperti dulu.

"Zaman itu sudah berlalu. Zaman itu untuk membantu Melayu berdikari. Sudah tiba masa untuk berdikari. Tak boleh salahkan orang.

"Kebencian terhadap bangsa lain tak akan mengatasi kelemahan pada bangsa sendiri. Mesej ni yang membuat penganjur teramat kecewa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Dr Mahathir melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan ‘tuduhan’ orang Melayu dan bumiputera di negara ini bersikap rasis apabila mengadakan perhimpunan bagi membincangkan nasib dan masa depan mereka.

Menerusi catatan dalam blog Chedet, Dr Mahathir berkata, gambaran itu memperlihatkan bahawa orang Melayu dan bumiputera tidak boleh berjuang untuk bangsa mereka sendiri.

Sedangkan katanya, kaum lain boleh mengadakan perhimpunan untuk membincangkan nasib mereka tetapi apabila orang Melayu berbuat demikian, terus dilabel sebagai rasis.

Dr Mahathir turut mendedahkan bahawa beliau telah dinasihatkan untuk tidak menghadiri ‘Kongres Maruah Melayu’ di Stadium Malawati Shah Alam awal bulan lalu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, kehadirannya pada kongres berkenaan atas dasar seorang Melayu.

Terdahulu, kehadiran Dr Mahathir di Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan empat universiti tempatan di Shah Alam, 6 Oktober lalu mendapat reaksi pelbagai khususnya daripada rakan parti dalam Pakatan Harapan (PH).