Jambatan angkat, candat sotong terima Anugerah Emas Majlis MTC 2019

Jambatan angkat Terengganu
Jambatan angkat Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu terus melakar kegemilangan dalam industri pelancongan di negara ini apabila jambatan angkat (drawbridge) dan aktiviti mencandat sotong menerima Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) 2019 yang dianjurkan oleh Majlis Pelancongan Malaysia di ibu negara semalam.

Jambatan Angkat merangkul anugerah utama dalam kategori Ikon Pelancongan Baharu Terbaik manakala candat sotong menerima anugerah dalam kategori Aktiviti Pelancongan Paling Popular dalam majlis tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, Terengganu akan terus mempromosikan dua produk tersebut untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 tidak lama lagi.

"Bagi merancakkan lagi tarikan pelancongan ke Drawbridge, pelbagai aktiviti promosi dan program juga telah dirangka oleh Tourism Terengganu dan TI Properties pada tahun 2020 antaranya pertandingan kolek Drawbridge, lumba perahu layar dan pertandingan layang-layang sedunia serta acara tahunan iaitu 'Tower Run' di samping pertandingan Triathlon iaitu berlari, kayuh basikal dan berenang di Drawbridge.

"Taklimat khas mengenai Drawbridge juga akan diberikan kepada media luar negara semasa penyertaan Terengganu dalam World Travel Market di London iaitu program pelancongan terbesar di dunia pada awal November depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, sehingga hari ini, pengunjung berbayar ke Jambatan Angkat ialah seramai 27,553 orang selepas dikenakan tiket sejak 15 September lepas.

Jambatan angkat pertama di Asia Tenggara sepanjang 638 meter yang mempunyai dua menara berkembar setinggi 16 tingkat tersebut dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 1 Ogos lepas.

Jambatan bernilai RM248 juta itu yang menggunakan sistem teknologi hidraulik bascule termaju menjadi jambatan keempat menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus selain tiga jambatan sedia ada iaitu Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Ariffin berkata, aktiviti mencandat sotong yang mempunyai keunikan tersendiri telah dimasukkan dalam aktiviti utama Tahun Melawat Malaysia 2020 dan akan dilancarkan di daerah Marang pada awal April tahun depan.

"Penganugerahan ini diharap dapat menyuntik semangat untuk pemain industri pelancongan Terengganu untuk terus menyediakan perkhidmatan terbaik pada masa akan datang," katanya. - Bernama