Label Malaysia bawah PH 'bencana tak terkawal' tidak bermaruah!

Zuraida
Zuraida
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan yang mengatakan Malaysia di bawah PH sebagai bencana tidak terkawal (unmitigated disaster) dilihat sebagai tindakan yang tidak bermaruah.

Ketua Wanita Pakatan Harapan, Zuraida Kamaruddin berkata, kenyataan berkenaan tidak wajar dikeluarkan oleh seorang penganalisis dasar awam tanpa sebarang kajian kukuh.

Menurutnya, ia secara tidak langsung menjadikan kenyataan itu tidak boleh diguna pakai.

"Kenyataan berkenaan dibuat tanpa mempertimbangkan hakikat bahawa kerajaan PH baru sahaja mengambil tampuk pentadbiran selama setahun lima bulan mulai Mei 2018 daripada BN.

"Saya dan rakan-rakan menteri di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sejak diberikan amanah, bekerja kuat tanpa mengenal erti lelah demi satu matlamat, iaitu mahu memulihkan negara," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Zuraida berkata demikian bagi mengulas kenyataan penganalisis dasar awam, Dr Lim Teck Ghee yang menyifatkan Malaysia di bawah Pakatan Harapan sebagai bencana tidak terkawal (unmitigated disaster) dalam satu forum di ibu negara semalam.

Tambah Zuraida, sejak PH diberikan mandat oleh rakyat untuk memperbaiki dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bermaruah, pelbagai usaha telah dilakukan.

Bagaimanapun katanya, ia bukanlah satu tugas yang boleh dilakukan dalam sekelip mata.

Artikel Berkaitan:

"Di bawah pentadbiran PH pihak Kerajaan Persekutuan sudah memberikan jaminan bahawa keharmonian dan kedudukan agama Islam, bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu akan terus terbela, tanpa mengabaikan kedudukan kaum-kaum lain di seluruh negara," katanya.