X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Warga Bangladesh jadi dalang sindiket pemalsuan pasport

Antara yang dirampas dalam operasi Ops Serkap di sebuah premis di Jalan Lebuh Ampang, Kuala Lumpur, Khamis lalu. - Foto ihsan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas penuntut sebuah kolej swasta warga Bangladesh diberkas selepas dipercayai menjadi dalang sindiket pemalsuan pasport, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan i-kad.

Suspek berusia 30-an ditahan oleh sepasukan Unit Risikan dan Operasi Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam operasi Ops Serkap di sebuah premis di Jalan Lebuh Ampang, di sini, Khamis lalu,

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi pada jam 1 petang itu telah menemui pasport warga Bangladesh, beberapa keping pelekat PLKS, kad hijau CIDB (Kad Pendaftaran Personel Binaan) yang disyaki telah dipalsukan.

"Turut ditemui beberapa keping i-kad yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga disyaki palsu.

"Kita kemudian telah merampas satu set komputer riba, sebuah mesin pencetak dan cop jabatan berserta peralatan lain untuk aktiviti tersebut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati premis tersebut dipercayai dijadikan markas memproses dan memalsukan pasport dan juga permit kerja beserta i-Kad yang dikeluarkan oleh JIM.

Antara yang dirampas dalam operasi Ops Serkap di sebuah premis di Jalan Lebuh Ampang, Kuala Lumpur, Khamis lalu. - Foto ihsan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Antara yang dirampas dalam operasi Ops Serkap di sebuah premis di Jalan Lebuh Ampang, Kuala Lumpur, Khamis lalu. - Foto ihsan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Katanya, suspek yang juga adalah bekas penuntut sebuah kolej swasta di ibu negara disyaki telah aktif sejak enam bulan lalu.

Sasaran utama sindiket adalah dalam kalangan warga Bangladesh yang mempunyai masalah dalam permohonan atau lanjutan permit kerja dari sektor pembinaan, perkhidmatan dan sektor perkilangan dengan kadar bayaran serendah RM90 sehingga RM250 bergantung kepada pakej.

"Sindiket ini dipercayai diurus sendiri oleh suspek melalui aplikasi WhatsApp," katanya.

Tambahnya, suspek kini direman untuk tindakan lanjut kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63.

Tegas Hamidi, pihaknya mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan agar tampil menyalurkan maklumat bagi membanteras dan membebaskan negara daripada belenggu ancaman PATI.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!