X

Kindly register in order to view this article
!

Bot karam: PPM, APM teruskan SAR cari tujuh mangsa hilang

A
A

LAHAD DATU - Pasukan Polis Marin (PPM) hari ini meneruskan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) tujuh individu termasuk dua kanak-kanak yang hilang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki karam di perairan Merabung, Tungku dekat sini Khamis lepas.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, tiga bot peronda dengan 21 anggota dan pegawai PPM Lahad Datu dikerah ke lokasi SAR sejak jam 6 pagi tadi.

"SAR meliputi kawasan perairan Merabung hingga Felda Sahabat 16 dan Pulau Adal, Pulau Tabawan hingga perairan Silam.

"Operasi akan dijalankan sehingga jam 6 petang ini," katanya.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, seramai 10 anggotanya terlibat SAR pada jam 7 pagi tadi bagi mencari mangsa yang masih hilang.

Menurutnya, dua bot milik APM turut serta dalam pencarian mangsa di laut manakala empat kenderaan bersedia menunggu di pesisir pantai.

Menurut jurucakap berkenaan, pihaknya melaksanakan pencarian dari pantai Parapat sehingga ke perairan Bangingod dan kini berada di Felda Sahabat 16.

Semalam dilaporkan seorang lelaki selamat manakala seorang wanita ditemui terapung dan tujuh lagi masih hilang selepas bot dinaiki karam.

Menurut laporan polis, mangsa yang terselamat merupakan warga asing berusia 29 tahun ditemui pada Khamis lepas oleh juragan kapal nelayan sebelum kejadian itu dilapor ke bilik gerakan PPM pada 3.05 petang. Mangsa itu kini ditahan polis selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

Semalam, mayat seorang wanita ditemui terapung oleh orang awam yang menghubungi Balai Polis Cenderawasih pada jam 9 pagi. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!